Lelaki terlibat pemerdagangan organ serah diri di IPD Kuching

Suspek tampil di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuching 1.45 tengah hari tadi selepas menyedari diburu polis.

KUCHING: Seorang lelaki berusia 48 tahun yang baru-baru ini mendedahkan penglibatannya dalam pemerdagangan organ manusia di seluruh dunia kepada akhbar Britain, ditahan selepas menyerah diri di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuching hari ini

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dev Kumar berkata, suspek tampil di IPD itu pada 1.45 tengah hari tadi, selepas menyedari dirinya diburu polis berikutan pendedahannya kepada seorang wartawan The Sun yang menyamar, bahawa suspek dipercayai broker menawarkan penjualan buah pinggang yang diperoleh daripada mangsa miskin.

“Lelaki itu akan direman pagi esok untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Dalam artikel pada 8 Ogos, The Sun melaporkan lelaki itu memberitahu kepada wartawannya yang dia boleh menawarkan pakej pelancongan pemindahan organ secara haram untuk warga Britain.

Dalam artikel itu, suspek digambarkan sebagai broker jahat yang mendalangi 45 penjualan buah pinggang secara haram dan menggunakan Facebook untuk menarik mangsa yang dilanda kemiskinan dari seluruh dunia untuk menjual organ mereka kepada pesakit yang amat memerlukan.