Majikan dibenar ambil pekerja asing jika tiada sambutan pekerja tempatan

Menteri sumber Manusia M Saravanan berkata, penggajian pekerja asing adalah bagi mereka yang masih berada dalam negara, mempunyai permit kerja yang sah serta berada dalam sektor pekerjaan yang sama.

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi kelonggaran kepada majikan untuk menggaji pekerja asing yang diberhentikan oleh majikan lama sekiranya tidak mendapat sambutan daripada pekerja tempatan.

Menterinya M Saravanan berkata, kementerian bagaimanapun menggesa majikan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan dalam penawaran dan pengisian kekosongan yang ada.

“Penggajian pekerja asing ini perlu dilakukan bagi mereka yang masih berada dalam negara, mempunyai permit kerja yang sah serta berada dalam sektor pekerjaan yang sama.

“Majikan disarankan untuk memastikan pekerja asing yang bakal digaji menjalani saringan Covid-19 sebagai prosedur operasi standard (SOP) serta langkah pencegahan penularan virus berkenaan,” katanya.

M Saravanan

Beliau berkata demikian merujuk kepada permintaan segelintir majikan yang mendakwa masih memerlukan sejumlah tenaga kerja asing sehingga mendesak kerajaan untuk menarik balik pembekuan terhadap pengambilan pekerja asing yang baru.

Untuk melihat data pekerja asing yang sudah menjalani saringan Covid-19, majikan boleh merujuk laman web MYEG di www.myeg.com.my, menurut kenyataan itu.

Saravanan berkata, majikan yang bercadang menggaji pekerja asing harus membuat permohonan terlebih dahulu, iaitu dengan mengisi borang dan menyerahkannya sendiri kepada Jabatan Tenaga Kerja di ibu pejabat Putrajaya, secara pos atau melalui e-mel [email protected]

Borang berkenaan boleh dimuat turun dari laman web www.jtksm.mohr.gov.my

KSM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi kebenaran untuk penggajian semula pada awal Jun sebagai langkah memaksimumkan tenaga kerja sedia ada dan merancakkan semula ekonomi negara.

Sehingga Julai tahun ini, sejumlah 67,068 orang pekerja tempatan dan 4,753 orang pekerja asing kehilangan pekerjaan.