Parlimen berkuasa gubal undang-undang, tetap hukuman

Mahkamah Persekutuan memutuskan mahkamah tidak boleh dengan sesuka hati menjatuhkan hukuman sebagaimana yang diinginkan jika undang-undang tidak mengizinkannya.

PUTRAJAYA: Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal perundangan dan menetapkan hukuman bagi kesalahan termasuk hukuman mati mandatori, demikian putus Mahkamah Persekutuan hari ini.

Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed yang menyampaikan keputusan mahkamah dengan majoriti 8-1 itu berkata penetapan hukuman adalah hak prerogatif Parlimen.

Beliau berkata, budi bicara untuk menentukan ukuran hukuman bukan sebahagian daripada kuasa kehakiman.

“Mahkamah hanya diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman dalam parameter hukuman yang ditetapkan oleh Parlimen,” katanya.

Panel 9 hakim itu dipengerusikan presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, menyampaikan keputusan mereka dalam rayuan oleh 4 individu yang membangkitkan isu perlembagaan mengenai peruntukan Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang menjatuhkan hukuman mati mandatori masing-masing bagi kesalahan mengedar dadah dan membunuh.

Kecuali hakim Nallini Pathmanathan yang tidak setuju, hakim lain – Rohana, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Abdul Rahman Sebli, Zaleha Yusof, Zabariah Md Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim – mewakili keputusan majoriti.

Keputusan itu disampaikan hampir 4 jam di dewan banquet Istana Kehakiman yang diubah suai untuk perbicaraan bagi mematuhi penjarakan fizikal.

Dalam keputusannya, Azahar berkata mahkamah tidak boleh dengan sesuka hati menjatuhkan hukuman sebagaimana yang diinginkan jika undang-undang tidak mengizinkannya.

“Kuasa menjatuhkan hukuman adalah undang-undang dan mahkamah tidak boleh melebihi atau mengehadkan kuasa menjatuhkan hukuman atas nama menjalankan kuasa kehakimannya,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan Seksyen 39B ADB dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak merampas kuasa kehakiman atau melanggar doktrin pemisahan kuasa.

“Pada pendapat saya, sebarang masalah kontroversi dasar yang melibatkan pandangan berbeza mengenai isu moral dan sosial adalah satu keadaan di mana Parlimen berada di kedudukan yang lebih baik untuk menilai keperluan masyarakat dan membuat pilihan sukar antara pertimbangan-pertimbangan yang ada,” katanya.

Azahar berkata dalam konteks masyarakat Malaysia, Parlimen sebagai badan perundangan yang dipilih merupakan badan yang sesuai untuk menentukan hukuman bersesuaian terhadap pengedar dadah dan pembunuh, atas kesalahan yang dianggap oleh masyarakat sebagai jenayah paling serius.

Beliau berkata, justeru adalah sewajarnya keputusan dan inisiatif untuk mengubah atau memansuh hukuman mati mandatori datang daripada Parlimen.

Dalam keputusannya, Nallini berkata kuasa perundangan Parlimen untuk menetapkan hukuman tertakluk kepada penelitian kehakiman untuk memastikannya tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Ia membenarkan badan kehakiman menyemak dan mengimbang kuasa eksekutif dan badan perundangan dengan mengetepikan undang-undang yang tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Nallini berkata, Seksyen 39B ADB dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak mengikut perlembagaan.

“Saya telah memutuskan bahawa hukuman mati mandatori tidak mengikut perlembagaan kerana melanggar Perkara 5 (1) (kebebasan individu) dan Perkara 8 (1) (semua orang adalah sama di sisi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mahkamah Persekutuan juga memutuskan mengenai merit rayuan keempat-empat individu tersebut -warga Afrika Selatan Letitia Bosman dan Benjamin William Hawkes, warga Peru Jorge Crespo Gomes dan P Pubalan, rakyat Malaysia yang memiliki syarikat keselamatan, yang merayu terhadap sabitan dan hukuman mati yang dihadapi mereka.

Bagi Bosman dan Hawkes, mahkamah mengesahkan sabitan mereka atas kesalahan mengedar dadah dan hukuman mati.

Mahkamah mensabitkan Gomes dengan tuduhan memiliki 779g kokain dan dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bermula tarikh tangkapnya pada 27 Jun 2016.

Sementara itu, mahkamah mengetepikan sabitan Pubalan atas pertuduhan membunuh iparnya D Murali dan menjatuhkan hukuman atas tuduhan membunuh tanpa niat. Dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dari tarikh penangkapannya pada 7 Nov 2013.

Peguam Abdul Rashid Ismail mewakili Bosman, Hawkes dan Gomes manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili Pubalan. Pendakwaan diwakili timbalan pendakwa raya Nik Suhaimi Nik Sulaiman.