Perkukuh, bukan hapus Akta Hasutan, kata Nazri

Mohamed Nazri Abdul Aziz Nazri (BN-Padang Rengas) berkata langkah memansuhkan Akta Hasutan seperti dicadangkan beberapa pihak akan mengakibatkan golongan tertentu mencerca perkara sensitif membabitkan keamanan negara.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu memperkukuh Akta Hasutan 1948 dengan melakukan kajian teliti bagi memastikan ia sesuai dengan situasi semasa bukan menghapuskannya.

Mohamed Nazri Abdul Aziz Nazri (BN-Padang Rengas) berkata, kajian perlu dilakukan semula kerana akta itu masih relevan untuk menjaga keselamatan negara yang berlatar belakang rakyat berbilang kaum, agama dan adat resam.

Katanya, langkah memansuhkan Akta Hasutan seperti dicadangkan beberapa pihak akan mengakibatkan golongan tertentu mencerca perkara sensitif membabitkan keamanan negara.

“Jadi, rakyat Malaysia ada yang bimbang Akta Hasutan ini tak boleh takut salah guna tapi bak kata pepatah marah pada nyamuk jangan kita bakar kelambu. Kalau kita pertikai adalah salah guna manusia bukannya pada akta.

“Siapa dalam Dewan Rakyat tahu guna akta masalahnya itu punca membolehkan seseorang pemimpin guna akta itu untuk kepentingan diri. Orang itu patut dibuang menjadi pemimpin dan bukannya akta.

“Akta ini sudah lama kerana mula wujud tahun 1948. Saya ingin nyatakan bahawa Akta Hasutan ini haruslah dimodenkan bersesuaian dengan tahun 2020 dengan mengambil pelbagai sudut dengan keadaan sekarang,” katanya ketika membahas usul Rang Undang-Undang Pebekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020.

Menjawab pertanyaan Mohamed Hanipah Maidin (PH-Sepang) yang menyatakan jika ahli Parlimen Padang Rengas itu bersetuju Akta Hasutan mempunyai elemen negatif, Nazri tidak menafikan perkara itu.

Katanya, Akta Hasutan amat diperlukan di negara ini dalam menentukan keharmonian dan kesejahteraan kehidupan sesuatu masyarakat dalam sesebuah negara dan jika diguna secara tidak berhemah kesannya amat membimbangkan.

“Tidak ada undang-undang 100% berkesan yang pasti ada sedikit untung, mesti ada sedikit rugi, kalau terus buang Akta Hasutan ini akan rugi, jangan sampai ketika nanti terperangkap dengan keadaan tidak baik baru kita nak cari (akta) apa kita nak buat.

“Jangan buang, timbang (fikirkan) dulu kerana Malaysia ini unik, dalam dunia ini satu-satunya negara yang pelbagai kaum boleh hidup dengan pelbagai pantang larang. Sebab itu jangan dilihat daripada kaca mata negara barat tetapi tengok dari uniknya negara kita yang rakyat biasa ini perlu diberikan perlindungan,” katanya.

Nazri turut bersetuju jika sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menambah baik elemen yang mampu memberi kualiti dan memperkukuhkn lagi Akta Hasutan 1948 mengikut kesesuaian ketika ini.