Putrajaya digesa dedah laporan akhir panel MA63

Adun DAP, Irene Chang menggesa semua ahli Parlimen dari Sarawak untuk terus membangkitkan isu MA63. (Gambar Facebook)

KUCHING: Seorang pemimpin pembangkang Sarawak dan sebuah NGO mempersoalkan langkah Putrajaya menolak untuk mendedahkan dapatan Jawatankuasa Khas Kabinet Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan membenarkannya dibahaskan di Parlimen.

Adun DAP, Irene Chang berkata, kerajaan persekutuan perlu menjelaskan niat sebenar untuk tidak membenarkan rundingan MA63 didedahkan kepada umum serta dibahaskan di Parlimen, termasuk 4 isu yang belum selesai.

“Rakyat Sarawak sudah lama menunggu untuk dapat membawa kerajaan pusat dan Petronas ke meja rundingan bagi membincangkan pengembalian hak dan kepentingan yang diberikan kepada kami di bawah MA63,” katanya kepada FMT.

“Selepas bertahun-tahun, kami diputar belit melalui Akta Pelantar Benua 1966, Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Akta Laut Wilayah 2012.

“Hasilnya, rakyat Sarawak dan Sabah menderita dari segi ekonomi dan sosial.

“Jadi, tidak dapat diterima selepas pintu dibuka oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya rundingan ini berlangsung dengan telus dan bertanggungjawab, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang perlu sekali lagi terlibat untuk menekankan isu ketelusan dan tanggungjawab.

“Untuk melarangnya diperdebatkan di Parlimen bermaksud menafikan ahli Parlimen kita, sebagai wakil rakyat, peluang dan hak untuk meneliti tindakan eksekutif dan menilai keseluruhan manfaat rundingan itu.”

Chang mennggesa semua ahli Parlimen dari Sarawak, termasuk dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), untuk terus membangkitkan isu itu di Parlimen.

Menurutnya, Adun Sarawak juga akan membangkitkan masalah itu dalam mesyuarat DUN akan datang.

Ia susulan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Hanifah Hajar Taib pada Isnin mengatakan tiada keperluan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berhubung pelaksanaan MA63 kerana penubuhan majlis khas sudah memadai.

Hanifah juga berkata laporan akhir Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 tidak perlu disebarkan kepada orang ramai kerana kandungannya bersifat teknikal dan melibatkan perkara-perkara sensitif.

Disember lalu, perjanjian bersama 17 daripada 21 perkara dilaporkan dicapai seperti yang dibentangkan oleh kerajaan Sarawak dan Sabah dalam mesyuarat jawatankuasa untuk mengkaji pelaksanaan MA63.

Baki 4 lagi perkara yang belum selesai seperti royalti minyak dan pembayaran tunai untuk petroleum, mineral dan telaga minyak, Akta Laut Wilayah 2012 dan Akta Pelantar Benua, akan terus dibincangkan dalam majlis khas yang akan ditubuhkan kelak.

Sementara itu, presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA), Dominique Ng juga menggesa kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak supaya mendedahkan kepada umum laporan akhir jawatankuasa khas dan menerbitkan semua dokumen yang berkaitan dengan perjannjian MA63 dan pembentukan Malaysia.

Beliau mempersoalkan apakah penolakan kerajaan pusat untuk mendedahkan laporan itu kerana tidak mahu memburukkan imej GPS bagi menghadapi pilihan raya Sarawak akan datang.

“Apa dan mengapa mereka sembunyikannya daripada rakyat yang hidupnya terkesan selama 57 tahun dalam persekutuan?”

Ng berkata, kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak mempunyai tanggungjawab untuk secara jujur melaporkan semakan MA63 kepada rakyat.