Serah hak milik tanah menjelang PRN, Shafie terus dikritik

Ketua menteri Shafie Apdal dikritik kerana menyerahkan sijil hak milik tanah kepada penduduk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan pada bila-bila masa.

KOTA KINABALU: Ketika demam Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin memuncak, tindakan ketua menteri Shafie Apdal yang menjelajah ke seluruh negeri untuk menyerahkan sijil hak milik tanah kepada penduduk menarik perhatian beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, presiden Warisan itu mempertahankan tindakannya sambil menafikan ia bukan bertujuan untuk membeli undi.

Katanya, ia sebahagian daripada inisiatif kerajaan yang diterajui Warisan sejak tahun lalu susulan pembatalan konsep geran komunal oleh kerajaan terdahulu.

Pengerusi Bersih Thomas Fann berpendapat, walaupun undang-undang pilihan raya menyatakan tiada kesalahan bagi kerajaan sementara menjalankan fungsi mereka sebagai kerajaan, namun tindakan Shafie disifatkan tidak beretika kerana secara aktif dan terbuka menyerahkan hak milik tanah berkenaan.

“Ini bertentangan dengan semangat pilihan raya yang bebas dan adil kerana tindakan sedemikian memberi kelebihan yang tidak wajar kepada parti kerajaan berbanding yang lain.

“Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 harus dipinda bagi menjadikan penyalahgunaan sumber negeri sebagai salah 1 kesalahan pilihan raya yang boleh dijatuhkan hukuman berat termasuk penjara serta denda,” katanya kepada FMT.

Semalam, Shafie menyampaikan 399 sijil tanah adat negeri (NT) kepada penduduk kampung di daerah utara Kudat manakala pada hari sebelumnya, beliau turut menyampaikan 240 NT kepada penduduk di Kinabatangan.

Sejak 2 tahun ini juga, ketua menteri Sabah itu menyerahkan sejumlah NT kepada penduduk kampung di Tongod, Ranau,, Tawau, Kalabakan, Keningau dan Tambunan.

Beliau juga dijadualkan akan menyampaikan lebih banyak NT kepada penduduk kampung di Beluran, Sipitang, Kuala Penyu dalam beberapa hari lagi.

Bekas setiausaha kerajaan negeri Simon Sipaun bagaimanapun berpendapat, tindakan Shafie itu tiada salahnya kerana sijil hak milik tanah berkenaan sudah disiapkan lebih awal.

Katanya, sebagai kerajaan sementara, mereka masih boleh menjalankan fungsi kerajaan seperti biasa kecuali memperkenalkan dasar serta perundangan baharu.

“Kita tidak boleh mempunyai negeri tanpa kerajaan (jadi) kerajaan sementara harus meneruskan pentadbiran mereka.

“Perkara ini (menyerahkan hak milik tanah) bukan mengenai dasar, hanya pentadbiran dan proses (meninjau dan mengukur tanah) telah pun berlangsung, itu saja.

“Bukan senang untuk mendapatkan hak milik tanah itu dan kini ia ada…bagi saya, kenapa perlu menunggu lagi?

“Saya pernah bertugas sebagai setiausaha di pejabat sumber semula jadi Sabah selama 6 tahun setengah untuk menyelia polisi tanah, jadi saya tahu apa yang saya katakan,” katanya.

Sementara itu, Andrew Atama Ambrose yang juga pengasas bersama Solidariti Anak Sabah Sarawak turut mempersoalkan tindakan penyerahan sijil hak milik tanah berkenaan.

“Shafie melakukan kesalahan kerana melancarkan kempen ini di kala pilihan raya bakal berlangsung pada bila-bila masa.

“Kempen ini juga dibuat secara tergesa-gesa di mana ia juga bermotifkan politik dalam keadaan krisis politik yang kian memuncak,” katanya.

Ambrose turut mempersoalkan mengapa pihak Jabatan Tanah dan Ukur Sabah tidak mengikut prosedur asal permohonan tanah NT.

Katanya, ia termasuk membabitkan pengasingan tanah NT, iaitu menunjukkan status pemohon di pejabat daerah mengikut amalan serta prosedur adat dalam kod tanah Sabah.

“Di manakah ketelusan dan tanggungjawab mereka? Bukankah ini akan menimbulkan perasaan bimbang kepada penduduk asli Sabah jika pemohon tanah adat negeri ini bukan orang asli negeri ini?” katanya.

Terdahulu, setiausaha agung PBS Jahid Jahim turut mempersoalkan tindakan Shafie dan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan siasatan terhadap ketua menteri itu yang dipercayai cuba membeli undi.

Bagaimanapun, bendahari agung Warisan Terrence Siambun menyangkal dakwaan Jahid yang menyatakan Shafie melakukan kesalahan pilihan raya.

“Saya rasa Jahid tidak membaca surat khabar kerana pengetahuan beliau mengenai apa yang berlaku di negeri ini sangat kurang kerana jika dia tahu, pasti dia juga tahu yang penyerahan hak milik tanah ini dilakukan sendiri oleh Shafie kepada penduduk kampung sejak setahun lalu,” katanya.