Surau Al-Jannah Seksyen 23 beroperasi semula hari ini

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi berkata pembukaan semula surau itu dibuat selepas ujian saringan jemaah terbabit didapati negatif.

SHAH ALAM: Surau Al-Jannah di Seksyen 23 yang ditutup sejak Jumaat lalu susulan terdapat jemaahnya dikesan mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 kluster Sivagangga di Napoh, Jitra, Kedah, dibenarkan beroperasi semula hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad, ketika dihubungi, berkata pembukaan semula surau itu dibuat selepas ujian saringan jemaah terbabit didapati negatif.

“Jais dimaklumkan individu dan ahli keluarga (jemaah) yang dikaitkan dengan kontak positif Covid-19 di Ipoh didapati negatif berdasarkan keputusan 2 kali ujian saringan Covid-19 yang dibuat pada 7 Ogos dan hari ini.

“Susulan keputusan itu, Jais bersetuju untuk membuka semula operasi surau Al-Jannah mulai hari ini dengan solat fardu 5 waktu berjemaah, solat Asar selain membenarkan juga solat Jumaat serta aktiviti pengimarahan surau berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, turut dibenarkan beroperasi semula adalah Sekolah Kafa Al-Jannah berdekatan surau itu.

Bagaimanapun, katanya individu dan ahli keluarga yang dikaitkan dengan kontak rapat kluster itu tidak dibenarkan hadir ke surau jika masih dalam tempoh kuarantin ditetapkan oleh klinik kesihatan kerajaan.

“Jawatankuasa surau dan pentadbir Kafa juga diingatkan terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jais bagi memastikan pencegahan penularan wabak Covid-19,” katanya.