Tiada lagi kompaun, terus ke mahkamah, kata Ismail

Bermula 24 Julai lalu mereka yang pulang ke Malaysia dari luar negara perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin ditetapkan.

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak berkuasa tidak lagi mengeluarkan kompaun kepada mereka yang melanggar perintah kuarantin, sebaliknya membawa pihak terbabit terus ke mahkamah.

Pada sidang media hari ini, beliau berkata, mahkamah akan memutuskan bentuk hukuman akan dikenakan termasuk penjara.

Mengulas kes indeks kluster Sivagangga yang melanggar arahan kuarantin di rumah, Ismail menggesa pihak berkenaan mengikuti SOP sehingga hari ke-13 untuk ujian semula.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar perintah kuarantin ini.

“Selanjutnya terserah kepada pihak pengadilan untuk memutuskan hukuman, seperti denda atau tempoh penjara,” katanya.

Sementara itu, seramai 184 individu ditahan selepas melanggar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), semalam.

“Daripada jumlah itu, 135 individu dikenakan kompaun,” katanya.

Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk 44 lokasi aktiviti dalam pub atau kelab malam, 54 aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial , 64 aktiviti yang melanggar SOP, dan 17 tidak memakai pelitup muka.

Selain itu, 2 gagal melunaskan kos kuarantin, 2 melanggar kuarantin di rumah serta 1 premis beroperasi lebih masa.

Semalam, sebanyak 4,112 pasar raya, 6,164 restoran serta 2,626 penjaja dan 2,286 pasar awam atau tani diperiksa pihak berkuasa, selain 4,201 tempat ibadah serta 1,607 tempat riadah.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, operasi Benteng pada 1 Mei hingga 12 Mei lalu, berjaya menahan seramai 3,137 pendatang asing tanpa izin (PATI), 629 tekong dan 167 penyeludup.

“Juga ditahan 126 bot atau kapal serta 314 kenderaan.

“Melalui sebanyak 77 sekatan jalan raya semalam juga berjaya menahan 14 warga asing atas kesalah imigresen,” katanya.

Beliau berkata, warganegara asing yang dibenarkan masuk perlu membayar caj kuarantin dan fi ujian pengesanan Covid-19 sebaik tiba di pintu masuk Antarabangsa Malaysia.

“Mana-mana warganegara asing yang gagal berbuat demikian akan dikenakan tindakan Not-To-Land oleh imigresen,” katanya.

BERITA LANJUT MENYUSUL