Upko mahu tambah kerusi PRN Sabah

Setiausaha agung Upko Nelson W Angang berkata buat masa ini perbincangan masih berjalan dan yakin perkara itu akan diumumkan presiden Upko, Wilfred Madius Tangau nanti.

PENAMPANG: Setiausaha agung Upko Nelson W Angang berkata, selain akan mengekalkan 5 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), parti itu memohon kerusi tambahan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Katanya, permintaan itu dibuat kepada pimpinan tertinggi sekutu mereka iaitu Warisan dan Pakatan Harapan (PH) susulan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertambah daripada 60 kepada 73 kerusi.

“Bagaimanapun, buat masa ini perbincangan masih berjalan dan saya yakin perkara itu akan diumumkan presiden Upko (Wilfred Madius Tangau) nanti.

“Selain itu, Upko juga secara prinsipnya akan mempertahankan 5 kerusi DUN dimenangi pada PRU14 lalu walaupun 4 wakil rakyat kami sebelum ini keluar parti,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Upko hari ini.

Nelson berkata, kerusi tambahan itu sudah dikenalpasti namun menegaskan ia perlu mendapat kata sepakat daripada sekutu mereka.

“Kerusi dikenalpasti adalah kerusi yang Upko yakin boleh bertanding serta mempunyai peluang untuk menang.

“Bagaimanapun, bagi menghormati gabungan parti kerajaan negeri yang lain, belum tiba masanya kami mengumumkan berapa jumlah kerusi yang dimaksudkan,” katanya.

Beliau berkata, parti itu juga akan lebih berhati-hati dalam memilih calon selepas apa yang berlaku sebelum ini iaitu 4 wakil rakyat mereka keluar parti.

“Kami yakin calon yang akan kami ketengahkan, mereka sedar dan faham perkara ini iaitu apabila diberi peluang untuk menjadi calon, kesetiaan kepada perjuangan parti dan kesetiaan kepada komponen kerajaan negeri adalah perkara utama,” katanya.