1 lagi kluster baru Covid-19 di Kedah

Kementerian Kesihatan memaklumkan kluster baru Covid-19 dikesan di Kedah iaitu kluster Muda dengan 2 individu didapati positif setakat ini.

PETALING JAYA: Satu lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Kedah iaitu kluster Muda membabitkan 2 individu didapati positif, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama dikesan membabitkan kluster Muda adalah seorang anggota polis.

“Kementerian Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan bahawa 1 kluster baharu yang dikesan di daerah Kuala Muda, Kedah. Kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-9,114) adalah lelaki warga Malaysia yang merupakan seorang anggota polis. Kes dilaporkan hari ini (kes ke-9,147) adalah rakan kerja kepada kes indeks.

“Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan pada 13 Ogos dan kes dikesan positif pada 14 Ogos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, sehingga hari ini, 124 kontak rapat beliau telah disaring.

“Daripada jumlah ini 2 kes dikesan positif, 5 negatif dan 117 masih menunggu keputusan. Semua kes bagi kluster ini adalah warga Malaysia.

“Pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah pencegahan serta pembendungan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi dikenalpasti,” katanya.

Beliau berkata, punca jangkitan masih dalam siasatan lanjut.

Dengan pengesanan kluster Muda hari ini menjadikan 3 kluster aktif setakat ini di Kedah membabitkan Sivagangga yang dikesan pada 13 Julai dan Tawar pada 13 Ogos.