20 kes baru Covid-19, jumlah pesakit aktif kini 196 orang

PETALING JAYA: Sebanyak 20 kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kes aktif meningkat kepada 196 orang.

Sementara itu, 7 pesakit sembuh dilaporkan hari ini.

Jumlah kematian kekal 125 orang kerana tiada kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 4 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 9,149 kes Covid-19 dengan 8,828 daripadanya sembuh.

Daripada kes baharu yang dicatatkan, 7 adalah kes import membabitkan jangkitan di luar negara dan 13 penularan tempatan.

Noor Hisham berkata, daripada 13 kes penularan dalam negara, semua kes adalah dalam kalangan warga Malaysia.

Katanya, daripada 20 kes baharu dilaporkan hari ini 11 daripadanya membabitkan kluster Tawar di Kedah dan Pulau Pinang.

“Terdapat 11 kes baharu dilaporkan bagi kluster Tawar hari ini, iaitu 10 kes di Kedah dan 1 kes di Pulau Pinang (kes ke-9,149).

“Kes ke-9,129 daripada kluster ini yang dilaporkan semalam telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang dari sebuah pusat perubatan swasta, namun kes ini kekal didaftarkan sebagai kes di Kedah,” katanya

Beliau berkata, sehingga 12 tengah hari hari ini, seramai 261 orang disaring dalam kluster itu.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 21 kes dikesan positif Covid-19,” katanya.