3 lagi penguatkuasa MBSA ditahan lindungi premis haram di Sg Buloh

Tiga penguatkuasa MBSA berbaju lokap SPRM jingga dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk permohonan perintah reman bagi membantu siasatan kes menerima rasuah untuk melindungi premis haram di Sungai Buloh. (Gambar SPRM)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 3 lagi anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang disyaki menerima rasuah untuk melindungi perniagaan haram, termasuk premis perjudian di Sungai Buloh.

Menurut sumber, 3 suspek berusia 40 hingga 43 tahun yang bertugas di pejabat MBSA cawangan Sungai Buloh itu ialah sebahagian daripada sindiket perlindungan kendalian anggota penguatkuasa yang mengutip bayaran bulanan daripada perniagaan haram.

“Mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. Ia seolah-olah menerima wang perlindungan ialah ‘budaya’ dalam kalangan anggota penguatkuasa itu yang perniagaan haram tidak takut dengan tindakan pihak berkuasa.”

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan reman ke atas 3 penguatkuasa MBSA itu selama 6 hari.

Perintah reman sehingga 19 Ogos itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim hari ini.

Ini menjadikan keseluruhan 9 individu ditahan setakat ini, selepas 4 penguatkuasa dan seorang peniaga direman 7 hari Rabu lalu, manakala seorang penolong pegawai penguatkuasa direman 7 hari semalam.

Isu itu menjadi hangat selepas 2 klip video disebarkan di Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, yang dikenali sebagai Asri Janggut, mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.