Covid-19: 139 tabika, taska Kemas tutup sementara di Kedah

Ketua Pengarah Kemas Mohd Yasid Bidin berkata, penutupan sementara itu sebagai langkah awal pencegahan untuk mengelak penularan pandemik Covid-19. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Sebanyak 139 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) termasuk 4 taman asuhan kanak-kanak (taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di 4 daerah di Kedah ditutup sementara setakat ini berikutan penularan kes Covid-19 melibatkan kluster Sivagangga.

Ketua Pengarah Kemas Mohd Yasid Bidin berkata, daripada jumlah itu 121 tabika dan 2 taska berada di daerah Kubang Pasu, 8 tabika dan 2 taska (Padang Terap), 1 tabika (Kulim Bandar Baharu) dan 5 tabika di Kuala Kedah.

“Ia membabitkan seramai 2,747 kanak-kanak di tabika dan taska. Jadi, tujuan kita tutup sementara ini sebagai langkah awal pencegahan untuk mengelak daripada penularan pandemik Covid-19.

“Proses sanitasi turut dilakukan di semua tabika dan taska dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra meraikan sukarelawan penyediaan set peralatan perlindungan diri (PPE) Kemas Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Mohd Yasid berkata setakat ini belum ada kes direkodkan membabitkan kanak-kanak di bawah tabika dan taska Kemas.

“Di Kedah kita mempunyai sebanyak 800 tabika dan taska, tapi taska tak banyak. Sebenarnya tabika dan taska kita selamat cuma kita tutup untuk cegah Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 88,210 pasang PPE dihasilkan membabitkan seramai 537 kakitangan Kemas dan 1,006 sukarelawan di seluruh negara sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lepas sehingga hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,452 set PPE dihasilkan di Negeri Sembilan bagi tempoh sama.