Doktor Korea Selatan mogok rancangan kerajaan ketika kes Covid-19 melonjak

Kerajaan bercadang menambah 4,000 pelajar perubatan dalam 10 tahun akan datang sebagai persediaan terhadap krisis kesihatan awam, tetapi Persatuan Perubatan Korea berkata negara itu sudah mempunyai doktor mencukupi. (Gambar AP)

SEOUL: Kira-kira 1/4 klinik di Korea Selatan ditutup pada Jumaat untuk mogok sehari sebagai bantahan terhadap rancangan kerajaan melatih doktor baru ketika negara itu melaporkan kes penularan tempatan Covid-19 tertinggi sejak akhir Mac lalu.

Kerajaan bercadang meningkatkan jumlah pelajar perubatan seramai 4,000 orang dalam 10 tahun akan datang sebagai persediaan terhadap krisis kesihatan awam seperti koronavirus.

Tetapi, Persatuan Perubatan Korea (KMA), yang membantu menganjurkan protes itu, berkata negara itu mempunyai doktor lebih daripada mencukupi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Kim Gang-lip berkata, sekurang-kurangnya 8,365 daripada keseluruhan 33,836 kemudahan perubatan, termasuk klinik swasta memberitahu mereka akan mengadakan mogok hari ini, tetapi jumlah itu mungkin meningkat.

Ratusan doktor dan pelatih dijadualkan mengadakan protes di luar Parlimen pada Jumaat.

“Jumlah doktor bagi setiap 1,000 penduduk meningkat sebanyak 3.1% setiap tahun untuk 10 tahun lalu, iaitu 6 kali ganda lebih tinggi daripada purata OECD,” kata KMA dalam satu kenyataan.

Mogok itu diadakan ketika Korea Selatan melaporkan 103 kes baru Covid-19, dengan 85 daripadanya ialah jangkitan tempatan, yang tertinggi sejak 31 Mac lalu, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea.

Kes baru itu, membabitkan kluster gereja dan restoran makanan segera, menjadikan keseluruhan kes Covid-19 di negara itu meningkat kepada 14,873 pesakit dengan 305 kematian setakat tengah malam Khamis.

Pihak berkuasa sedang mengkaji sama ada mahu menyambung semula langkah ketat penjarakan sosial, termasuk mengehadkan himpunan 50 orang dalam bangunan dan 100 orang di luar bangunan.

Ekonomi ke-4 terbesar di Asia itu menyaksikan lonjakan kes dalam beberapa minggu ini, kebanyakannya di kawasan padat penduduk di Seoul.