Isu Rohingya: KDN dapatkan data pemegang kad daripada UNHCR, Wisma Putra

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat mengenai data pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di negara ini daripada wakil agensi itu dan Wisma Putra.

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri akan mendapatkan maklumat mengenai data pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di negara ini daripada wakil agensi itu dan Wisma Putra.

Menterinya Hamzah Zainudin berkata, data itu diperlukan untuk membolehkan kerajaan mengkoordinasi usaha dalam menentukan sesiapa saja yang berada di negara ini mempunyai dokumen sah.

“Saya akan memanggil mereka (UNHCR) bersama dengan Wisma Putra untuk memastikan apa sahaja data yang mereka miliki hendaklah mereka serahkan kepada kita,” katanya kepada media ketika mengulas dakwaan lambakan pendatang Rohingya di negara ini yang memiliki kad UNHCR sehingga lebih 85,000 orang.

Terdahulu, Hamzah menghadiri majlis pemakaian bintang pangkat kepada Acryl Sani Abdullah Sani sebagai timbalan ketua polis negara yang baharu.

Dalam isu berasingan, Hamzah yang juga setiausaha agung PPBM berkata seramai 288 ahli parti itu yang menyokong Mahathir Mohamad telah terhenti keahliannya secara automatik.

“Kita akan keluarkan senarai nama mereka yang terbabit,” katanya memaklumkan senarai itu akan diserahkan kepada bahagian PPBM.

Beliau berkata, mereka tidak lagi boleh menghadiri mesyuarat perwakilan bahagian dan jawatankuasa pemilihan parti (JPP) PPBM boleh mengambil tindakan ‘memotong’ nama mereka dalam senarai calon yang bertanding.

Hamzah berkata, pihaknya menerima lebih 30,000 permohonan untuk menyertai parti itu.