Jumlah kematian letupan Beirut meningkat kepada 177

Sekurang-kurangnya 177 orang terbunuh dalam letupan pada Selasa. (Gambar AP)

BEIRUT: Angka kematian akibat letupan besar di Pelabuhan Beirut minggu lalu meningkat kepada 177 orang, lapor Agensi Anadolu, memetik Menteri Kesihatan Lubnan, Hassan Hamad pada Khamis.

Mengambil kira 30 individu masih hilang selepas letupan maut di ibu kota itu, Hamad memberitahu siaran televisyen tempatan jumlah kematian berkemungkinan boleh mencapai 200 orang.

Tentera Lubnan dalam kenyataan berkata diplomat asing dimaklumkan mengenai mekanisme pengagihan bantuan berikutan kejadian berkenaan.

Maklumat mengenai bagaimana bantuan yang diterima oleh Lubnan akan sampai kepada mangsa letupan juga dikongsi dengan para diplomat, tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata keperluan pusat kesihatan dan hospital akan ditentukan sebelum pengagihan bantuan perubatan dilakukan.

Bantuan perubatan akan diedarkan selaras dengan koordinasi antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan, manakala bantuan makanan akan diedarkan dengan kerjasama tentera dan organisasi bukan kerajaan, katanya.

Tentera Lubnan berkongsi mekanisme penyaluran bantuan yang diterima secara telus dengan diplomat asing berikutan tuduhan rasuah terhadap pemerintah oleh aktivis media sosial dan rusuhan yang menganjurkan tunjuk perasaan di Beirut.

Letupan kuat menggegarkan Beirut pada 4 Ogos selepas timbunan 2,750 tan metrik ammonium nitrat yang diabaikan di gudang terbakar.

Gelombang letupan meruntuhkan bangunan berhampiran dan menyebabkan kerosakan harta benda yang meluas, menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Rusuhan ganas berterusan walaupun Perdana Menteri Hassan Diab dan barisan menterinya mengundurkan diri sebagai kerajaan.

Presiden Michel Aoun pada Rabu menyatakan kerosakan harta benda daripada letupan itu boleh menelan belanja lebih dari AS$15 bilion, menurut pertubuhan berita rasmi Lubnan.