KDNK mengecut: Badan pemikir gesa Putrajaya tumpu respons jangka panjang

Badan pemikir Ideas berkata, pengecutan KDNK merupakan peluang untuk memajukan ekonomi yang lebih kompetitif dan inklusif.

KUALA LUMPUR: Sebuah badan pemikir tempatan menggesa Putrajaya supaya mengambil pendekatan pembaharuan ekonomi jangka panjang, bukannya menggunakan langkah rangsangan agresif dalam menghadapi pengecutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 17.1% pada suku ke-2 tahun ini seperti diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengurus penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Lau Zheng Zhou mengingatkan kerajaan supaya tidak membuat keputusan spontan berhubung pengumuman itu.

“Walaupun kita faham bahawa pengecutan besar KDNK suku ke-2 2020 itu boleh mencetuskan panik, namun ia juga merupakan peluang untuk merangka semula hala tuju dasar kerajaan ke arah memajukan ekonomi yang lebih kompetitif dan inklusif pada masa akan datang.”

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata, kerajaan perlu menggalakkan kolaborasi lebih rapat antara IKS dengan universiti penyelidikan berhubung inovasi produk dan proses serta bidang berkaitan industri lain.

“Kita perlu melakukan pembaharuan strategik bagi menangani masalah kelemahan struktur yang dihadapi oleh industri, terutama IKS dan bagaimana untuk membantu mereka pulih dengan lebih baik dalam jangka panjang,” katanya.

Ini berikutan pengumuman berhubung kemerosotan KDNK sebanyak 17.1% pada suku ke-2 tahun ini setelah meningkat 0.7% pada suku sebelum ini.

Ia menandakan paras terendah sejak krisis kewangan pada 1998, menurut Jabatan Perangkaan.

Sejumlah 735 industri mencatatkan pertumbuhan negatif berbanding 381 pada suku pertama, dengan nilai tambah sebanyak 68.5% (RM176.1 bilion).

Pertumbuhan negatif direkodkan di semua sektor pengeluaran pada suku ke-2, melainkan sektor pertanian.