KDNK susut 17.1% pada suku tahun ke-2, terendah sejak 1998

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar menyusut 17.1% pada suku ke-2 tahun ini, daripada pertumbuhan marginal 0.7% pada suku pertama.

Prestasi suku tahun itu merupakan pertumbuhan KDNK terendah sejak suku tahun ke-4 1998, yang merekodkan -11.2%, menurut Jabatan Perangkaan.

“Dari segi pengeluaran, pertumbuhan negatif direkodkan oleh semua sektor kecuali sektor pertanian,” kata Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini.

“Dari segi permintaan, semua komponen permintaan akhir menyusut kecuali perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan.”

Dari segi pengeluaran, Uzir menjelaskan sektor perkhidmatan dan pembuatan masing-masing merekodkan pertumbuhan negatif 16.2% dan 18.3%.

Sektor pembinaan pula menyusut 44.5% manakala perlombongan dan pengkuarian merosot 20%.

Dari segi permintaan, perbelanjaan penggunaan akhir swasta merosot 18.5%, pembentukan modal tetap kasar susut 28.9%, eksport jatuh 21.7%, dan import menguncup 19.7%.

“Semua komponen permintaan akhir menyusut kecuali perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan yang mencatatkan pertumbuhan positif 2.3%,” kata Uzir.

Uzir menjelaskan penyusunan KDNK suku ke-2 ditambahbaik dengan penambahan anggaran KDNK bulanan bagi mengukur prestasi ekonomi semasa.

“Berdasarkan anggaran KDNK bulanan, kemerosotan ketara berlaku dalam semua sektor pada April yang menyebabkan KDNK merosot 28.6%.”

Namun, prestasi pada Mei bertumbuh lebih baik kepada -19.5% dan terus mencatatkan penguncupan lebih rendah kepada Jun kepada -3.2%, tambahnya.

Penguncupan yang lebih perlahan bagi Jun berlaku pada semua sektor terutamanya sektor pembuatan dan pertanian, masing-masing mencatatkan pertumbuhan +4.5% dan +11.0%, sementara sektor lain mencatatkan pertumbuhan yang perlahan, iaitu -12.7% bagi pembinaan, -16.4% bagi perlombongan dan pengkuarian, dan -6.0% bagi perkhidmatan.

Sementara itu, prestasi eksport pada Jun menunjukkan tanda-tanda pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19.

Uzir berkata ia mencatatkan pertumbuhan +8.8% kepada RM82.9 bilion dengan mencapai lebihan dagangan sebanyak RM20.9 bilion, “iaitu nilai terbesar yang pernah direkodkan”.

“Sementara itu, pada Mei perdagangan Malaysia menguncup sebanyak 27.8% tahun ke tahun,” tambahnya.