Kerajaan perlu sedia bantuan kewangan kepada pelajar, kata majlis profesor

Sehingga kini PTPTN membantu seramai 1.24 juta peminjam dalam kalangan pelajar IPTS membabitkan perbelanjaan sebanyak RM30.6 billion.

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mencari alternatif bantuan kewangan selain pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membantu pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi.

Raduan Che Rose.

Presiden merangkap ketua pegawai eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN) Raduan Che Rose berkata, dana PTPTN yang semakin berkurangan ekoran penangguhan bayaran balik, dilihat bakal merencatkan peluang pelajar mendapatkan bantuan kewangan.

“Bayangkan jika tiada dana daripada PTPTN, bagaimana institusi itu dapat membantu membiayai kewangan pelajar di institusi pengajian tinggi?

“Adakah kerajaan bersedia mencari atau mewujudkan institusi selain PTPTN dalam hal ini?

“Jika tiada yang mampu menyediakan dana, maka kita berdepan dengan situasi kritikal untuk pelajar lain pada masa depan. Apakah pula masa depan pengajian tinggi negara? Sebab mereka bergantung kepada PTPTN. Tanpa pinjaman, ramai pelajar akan terjejas.

“Dalam hal ini, PTPTN perlu dibantu,” katanya dalam program dialog bertajuk “Masa Depan Universiti Swasta: Ada Strategi Baru?” hari ini.

Ketua pegawai operasi PTPTN Mastura Mohd Khalid yang turut menyertai program yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Bernama TV itu berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya membantu pelajar yang memerlukan mengikut kelayakan dan syarat yang ditetapkan.

Ketua pegawai operasi PTPTN Mastura Mohd Khalid.

Beliau berkata, sehingga kini, PTPTN membantu seramai 1.24 juta peminjam dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) membabitkan perbelanjaan RM30.6 billion.

“Setakat ini, memang tiada perubahan polisi dalam membantu pelajar IPTS. Cuma kita harap rakyat sedar, kutipan kita merosot dan PTPTN pun ada kewangan terhad,” katanya.

Mastura berkata, penangguhan bayaran balik bermula 1 Oktober hingga 31 Disember yang dianggar melibatkan RM1.13 bilion seperti diumumkan sebelum ini, merupakan tanda keprihatinan dan sikap ambil berat kepada peminjam yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Sementara itu, dalam sesi yang sama, naib presiden 1, Persatuan Kolej & Universiti Swasta Malaysia (MAPCU) Abu Bakar Jalaluddin berkata, pihaknya sentiasa menyediakan ruang perbincangan bersama ahli persatuan yang terdiri daripada 80 IPTS seluruh negara dalam hal berkaitan bantuan kewangan itu.

Tegasnya, ini termasuk dalam mencari jalan membantu pelajar agar tidak menangguhkan pengajian kerana dana kewangan yang tidak stabil menerusi pelbagai kaedah antaranya Skim Bayaran Ansuran atau Skim Bayaran Tertangguh.

“Harapan kami adalah agar pelajar dapat menamatkan pengajian mengikut masa yang ditetapkan tanpa dibebani masalah kewangan,” tambahnya.