Lambakan import keluli dari 3 negara disiasat, kata MITI

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, siasatan dibuat selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994.

PETALING JAYA: Kerajaan berkata, terdapat bukti yang mencukupi untuk meneruskan siasatan berhubung pengimportan dagangan dari China, Korea dan Vietnam di bawah Seksyen 23 Akta Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan 1993 (Akta).

Ia susulan siasatan anti lambakan mengenai import produk gulungan rata keluli bukan aloi yang disadur atau disalut dengan aluminium dan zink dari 3 negara itu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan sementara dalam bentuk jaminan bank yang bersamaan dengan nilai margin lambakan yang dikenal pasti dalam penentuan awal.

“Duti anti-lambakan sementara antara 2.17% hingga 37.14% akan dikenakan ke atas import dagangan subjek dari negara berkenaan dan ia akan berkuat kuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari mulai hari ini,” menurut kenyataan itu.

MITI berkata, penyiasatan itu dimulakan selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 pada 17 Mac 2020 berdasarkan petisyen yang difailkan oleh NS Bluescope (Malaysia) Sdn Bhd (pempetisyen) yang mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa.

“Pempetisyen mendakwa dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari negara berkenaan diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara tersebut.

“Pempetisyen mendakwa keadaan ini menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia. Penentuan muktamad akan dibuat tidak lewat daripada 11 Disember 2020,” kata kementerian itu.