Mahkamah tolak permohonan Najib batal pertuduhan pinda laporan audit 1MDB

Najib Razak memohon dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB yang didakwanya tidak berasas dan bersifat menindas.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk membatalkan pertuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB yang dihadapinya bersama bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pertuduhan terhadap Najib, 67, tidak mengelirukan seperti didakwa bekas perdana menteri itu.

“Alasan-alasan diberikan pemohon (Najib) sepatutnya hanya dipertimbangkan pada akhir kes pendakwaan. Masih terlalu awal untuk mahkamah menimbang alasan berkenaan (untuk membatalkan pertuduhan) pada peringkat ini,” katanya.

Najib, 67, memohon dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB yang didakwanya tidak berasas dan bersifat menindas.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang dimuktamadkan ketua audit negara, sebelum laporan itu “sekali lagi dimuktamadkan” dan dibentangkan di depan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Arul Kanda, 44, dituduh bersubahat dengan Najib membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindunginya daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, pada masa dan di tempat sama, selaras Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 23 (1) dan 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.