Pakar saran AirAsia keluarkan saham baru untuk harungi krisis Covid-19

Baru-baru ini, liabiliti semasa AirAsia Group Bhd dilaporkan melonjak kepada RM8.5 bilion berbanding aset semasa RM3.6 bilion.

PETALING JAYA: Pakar penerbangan, Roger Teoh menyarankan AirAsia mengeluarkan saham baru untuk mengukuhkan kedudukan tunainya bagi mengharungi pandemik Covid-19.

Beliau mendapati syarikat penerbangan itu mempunyai pembiayaan hutang sebanyak RM1 bilion minggu lalu, tetapi meningkatkan modal ekuitinya mungkin masih diperlukan dan boleh menguntungkan kerana harga sahamnya masih dijual melebihi nilai aset ketara bersih.

“Dengan ekuiti baru itu, AirAsia boleh mendapat lebih banyak hutang untuk meningkatkan lagi kedudukan likuiditi mereka,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini dilaporkan liabiliti semasa AirAsia Group Bhd dilaporkan melonjak kepada RM8.5 bilion berbanding aset semasa RM3.6 bilion.

Roger Teoh

Pada suku pertama tahun ini, ia mengalami kerugian bersih hampir RM1 bilion, manakala kerugian pada suku ke-2 diunjurkan lebih besar.

Teoh berkata, beliau terkejut kerana pengurusan AirAsia tidak segera mengumpul sejumlah besar modal.

“Malah, beberapa syarikat penerbangan yang dikendalikan dengan baik di seluruh dunia mengumpul sejumlah besar modal ekuiti pada awal penularan pandemik, ketika harga saham mereka masih dijual pada harga memuaskan.”

Katanya, AirAsia, lambat bertindak dan jumlah kecil modal yang dikumpulnya, sama seperti bank pelaburan Amerika Syarikat, Lehman Brothers semasa krisis kewangan 2008.

Beliau berkata, ketua pegawai eksekutifnya menolak gesaan mengumpul sejumlah besar modal kerana bimbang pencairan ekuiti dan syarikat itu akan muflis.

Teoh mengakui peningkatan ekuiti akan menjadi negatif bagi pemegang saham AirAsia sedia ada dan keputusan sukar untuk syarikat itu, tetapi ia mungkin perlu dilakukan demi daya tahan jangka panjang syarikat penerbangan itu.

Ditanya jika Putrajaya perlu menyelamatkan AirAsia, Teoh berkata, itu mungkin menimbulkan isu “bahaya moral” kerana ia akan menggalakkan tindakan semboro dalam sektor swasta.