Pekerja, peniaga mahu saman pemilik kedai nasi kandar cetus kluster Sivagangga

Persatuan Pengguna Kedah berkata, setakat ini 100 peniaga dan pekerja yang bergaji hari di sekitar Napoh membuat aduan dan mahu menuntut ganti rugi selepas pendapatan mereka terjejas. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Selepas dikenakan hukuman penjara 5 bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pemilik kedai nasi kandar Salleh di Napoh, Kubang Pasu bakal menghadapi tuntutan saman oleh peniaga dan pekerja di kawasan berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff yang mewakili peniaga dan pekerja berkenaan yang mahu menuntut ganti rugi selepas pendapatan mereka terjejas ekoran penularan kluster Sivagangga.

“Setakat ini seramai 100 peniaga terdiri daripada pengusaha kedai runcit, kedai makan peniaga pasar malam dan pekerja yang bergaji harian di sekitar Napoh atau kedai nasi kandar Salleh membuat aduan kepada kita dan mahu menuntut ganti rugi selepas pendapatan mereka terjejas.

“Sebelum ini (sewaktu perintah kawalan pergerakan) pendapatan mereka sudah terjejas lebih 2 bulan dan sekarang terjejas semula susulan Temco (perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar) yang disebabkan oleh pemilik kedai nasi kandar itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ketika ini CAKE sedang mengumpul maklumat kerugian yang dihadapi peniaga dan pekerja bergaji hari di kawasan itu dan akan mengemukakan semua maklumat berkenaan kepada peguam.

Mohamad Yusrizal Yusoff

Menurut Yusrizal, CAKE melantik seorang peguam yang bersedia menawarkan khidmatnya secara percuma dan tuntutan itu dijangka difailkan di mahkamah di sini, minggu depan.

“Kita harap tindakan kita ini akan memberi pengajaran kepada semua orang supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sehingga menyebabkan virus Covid-19 merebak,” katanya.

Semalam, pemilik kedai makan itu Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, dikenakan hukuman penjara 5 bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terhadap 4 pertuduhan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada 14 Julai lepas sehingga mencetuskan kluster Sivagangga.

Pada 3 Ogos, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Temco di 4 kawasan, iaitu Mukim Ah, Mukim Hosba serta Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu; dan Kampung Ulu, Padang Sanai di Padang Terap susulan penularan kes Covid-19 yang berpunca daripada kluster berkenaan.