Pengarah penguatkuasa MBSA direman 6 hari dalam kes lindungi premis haram

Pengarah penguatkuasa MBSA dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk mendapatkan perintah reman. (Gambar SPRM)

PETALING JAYA: Pengarah penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman 6 hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah untuk melindungi premis haram dan pusat perjudian di Sungai Buloh.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata, perintah reman sehingga 19 Ogos itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim hari ini.

Sumber itu berkata, lelaki berusia 59 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 10.15 pagi tadi selepas hadir memberi keterangan.

Ini menjadikan keseluruhan 10 individu, iaitu 9 pegawai dan anggota penguatkuasa MBSA serta seorang peniaga, ditahan SPRM dalam kes itu.

Terdahulu, 3 penguatkuasa MBSA direman 6 hari kerana disyaki menjadi sebahagian daripada sindiket sama hari ini.

Ia selepas 4 penguatkuasa dan seorang peniaga direman 7 hari Rabu lalu, manakala seorang penolong pegawai penguatkuasa direman 7 hari semalam.

Isu itu menjadi hangat selepas 2 klip video disebarkan di Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, yang dikenali sebagai Asri Janggut, mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.