Pengendali treler terlibat kemalangan korban 7 orang diberi surat tunjuk sebab

Tujuh maut, termasuk 2 kanak-kanak, manakala 3 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah treler di KM 5 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Simpang Pulai, Selasa lepas. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) semalam mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pengendali lori treler yang terlibat dalam kemalangan jalan raya maut di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai, Ipoh pada 11 Ogos.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, pengendali itu perlu menjawab surat tunjuk sebab tersebut dalam tempoh 3 hari.

“Setelah menerima jawapan daripada pengendali tersebut, APAD akan mengumpul syor melalui Jawatankuasa Pelesenannya mengenai tindakan yang wajar diambil terhadap pengendali itu.

“Syor itu akan dikeluarkan pada 17 Ogos 2020,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan ini disusuli sesi pemeriksaan dan audit keselamatan (JISA) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) oleh cawangannya di Perak pada 12 Ogos.

Wee berkata, Kementerian Pengangkutan memandang serius kemalangan lalu lintas dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan seperti peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (Akta 333).

Beliau berkata, keselamatan pengguna jalan raya dan pengendali pengangkutan awam darat adalah keutamaan kementerian itu.

“Berdasarkan syarat lesen, semua pengendali pengangkutan awam darat dikehendaki mematuhi standard keselamatan paling tinggi yang membabitkan kenderaan mereka,” katanya.

Wee berkata, kementerian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pelanggaran standard serta amalan keselamatan dan pengendali yang gagal berbuat demikian bakal berdepan tindakan perundangan sedia ada sepenuhnya.

“Kementerian tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen pengendali serta permit kenderaan dan mengambil tindakan pentadbiran dan mahkamah terhadap pengendali yang melanggar peraturan keselamatan seperti terdapat dalam lesen pengusaha,” katanya.

Tujuh maut, termasuk 2 kanak-kanak, manakala 3 lagi cedera selepas sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza yang mereka naiki bertembung treler di kilometer ke-5 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Simpang Pulai.