Presiden Filipina tawar diri uji vaksin Covid-19 dihasilkan Rusia

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte (kiri). (Gambar AP)

Awal minggu ini, Rusia mengumumkan berjaya menghasilkan vaksin Covid-19 sekaligus menjadi negara pertama yang mengumumkan vaksin bagi pandemik ini.

Pengumuman vaksin Covid-19 yang dinamakan sempena satelit Soviet iaitu “Sputnik V” nyata menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan orang ramai seluruh dunia termasuk para saintis serta ahli politik.

Komen yang dibuat kebanyakannya disebabkan keberkesanannya setelah mendakwa Rusia tidak mengambil masa yang panjang serta mengikut prosedur dalam menawarkan vaksin.

Di sebalik pelbagai dakwaan yang dibuat, presiden Filipina, Rodrigo Duterte tampil dengan pendapat berbeza serta mengejutkan orang ramai seluruh dunia apabila menyatakan kesanggupan beliau untuk menjadi “tikus makmal” terhadap vaksin yang dihasilkan Rusia.

Menurut Duterte yang sudah berusia 75 tahun, beliau sangat yakin dengan keupayaan Rusia dalam menawarkan kesihatan yang lebih baik buat orang ramai sekaligus tidak skeptikal untuk mencubanya.

Cubaan menjadi “tikus makmal” ini dilihat beliau sebagai salah satu cara beliau membantu orang ramai.

Setakat ini, pihak dari Filipina sudah bersetuju dan sedia untuk menerima vaksin “Sputnik V” yang bakal dibekalkan oleh pihak Rusia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]