RHB Investment: KDNK suku ke-3 2020 dijangka terus menguncup

Sektor berkaitan pelancongan, termasuk pengangkutan, penginapan dan peruncitan menanggung impak terburuk akibat pelaksanakan sekatan pergerakan bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

KUALA LUMPUR: Walaupun fasa buruk sudah berakhir bagi negara berikutan kelonggaran pelaksanaan sekatan bagi membendung pandemik Covid-19, namun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ke-3 tahun ini dijangkakan terus menguncup, menurut RHB Investment Bank Bhd.

Dalam nota penyelidikan hari ini bank pelaburan itu berkata, ekonomi Malaysia masih beroperasi di bawah kapasiti penuhnya.

“Selain itu, risiko gelombang baru Covid-19 berkemungkinan menyaksikan pelaksanaan semula langkah lebih tegas yang menjejaskan momentum pertumbuhan bagi kemajuan masa depan.

“Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia sebanyak -4.0% untuk 2020,” katanya.

Pertumbuhan KDNK benar Malaysia menguncup 17.1% pada suku ke-2 yang merupakan prestasi terburuk dan mengatasi paras terendah sejak krisis kewangan Asia sebanyak -11.2% pada suku ke-2 1998.

Selain itu, pertumbuhan suku ke suku juga susut ketara sebanyak -15.9%.

RHB Investment berkata, penyusutan pertumbuhan yang ketara itu sememangnya dijangka berikutan pengurangan mendadak dicatatkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) serta petunjuk lain.

“Dari segi data KDNK, sektor berkaitan pelancongan (pengangkutan, penginapan dan peruncitan) ternyata menanggung impak terburuk akibat pelaksanakan sekatan pergerakan itu.

“Sebaliknya, sektor berkaitan utiliti, kewangan, komunikasi, elektrikal & elektronik didapati lebih terkawal berikutan pandemik itu,” katanya.

Dari segi perbelanjaan, penguncupan besar dapat dilihat dalam penggunaan swasta, pelaburan dan eksport bersih, namun ini diimbangi oleh sumbangan daripada penggunaan perbelanjaan kerajaan yang positif, demikian menurut bank pelaburan itu.

Penggunaan swasta susut 18.5% yang menunjukkan permintaan pengguna yang lebih terhad berikutan langkah sekatan pergerakan.

Pelaburan juga merosot mendadak (-28.9%), manakala pelaburan swasta dan awam berkurangan masing-masing 26.4% dan 38.7%.