Thailand catat 17 kes baru Covid-19

Sejak 3 April hingga semalam, 76, 574 orang warga asing dan penduduk tempatan memasuki Thailand dan menjalani kuarantin wajib di kemudahan disediakan kerajaan. (Gambar AP)

BANGKOK: Thailand merekodkan 17 kes baru Covid-19, termasuk 15 rakyatnya yang baru pulang dari India, menjadikan jumlah keseluruhan menjangkau 3,376 kes.

Sementara itu jumlah kematian kekal 58, apabila tiada kematian akibat Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dalam satu kenyataan memaklumkan 15 warga Thailand berumur antara 12 dan 72 tahun, termasuk 6 wanita, tiba di Thailand pada 8 Ogos dan menjalani kuarantin wajib di kemudahan disediakan kerajaan.

Menurutnya, 2 lagi adalah lelaki warga Thailand, seorang berusia 54 tahun yang pernah ke Amerika Syarikat dan seorang lagi pelajar lelaki berusia 25 tahun yang baru pulang dari Australia.

“Sehingga kini, 3,173 pesakit Covid-19 sembuh, manakala 143 masih berada di wad.

“Sejak 3 April hingga semalam, 76, 574 orang, iaitu warga asing dan penduduk tempatan memasuki negara ini dan menjalani kuarantin wajib di kemudahan disediakan kerajaan.

“Daripada jumlah itu 68,504 orang selesai menjalani tempoh kuarantin 14 hari dan pulang ke rumah. Seramai 439 orang didapati positif Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand (MFA) Chirdkiat Atthakor berkata, kementerian berkenaan membantu 69,764 warga Thailand dari 97 negara, termasuk 45,943 orang yang melakukan perjalanan menerusi udara, 22,854 orang menerusi jalan darat dan 969 menerusi jalan laut, pulang ke tanah air sejak 3 April.

Beliau berkata, kira-kira 1.6 juta rakyat Thailand masih tinggal di luar negara.

“Pada Ogos, seramai 14,942 rakyat Thailand mendaftar untuk pulang ke tanah air,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Chirdkiat berkata, MFA memberi kebenaran 5,700 warga asing masuk ke negara itu, termasuk diplomat, penduduk tetap dan pemegang permit kerja bukan warga Thailand, pasangan mereka dan anak-anak, pelancong kesihatan, pemegang kad Elit Thailand (mereka dengan visa kediaman jangka panjang dan visa kediaman kemasukan berulang kali), pekerja asing dari negara jiran.

Sejak 3 April, Thailand melarang semua penumpang penerbangan antarabangsa memasuki negara itu bagi mengekang pandemik Covid-19, dan setakat ini tiada pelancong asing dibenarkan masuk ke negara itu.