KKM kesan 1 lagi kluster baru Covid-19 di Kedah

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan 1 lagi kluster baru Covid-19 di daerah Yan, Kedah dan dikenali sebagai kluster Sala.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama bagi kluster ini merupakan kes ke-9148, iaitu lelaki warganegara Malaysia yang dikesan positif pada 13 Ogos lalu, melalui sistem survelan klinikal “severe acute respiratory (SARI)”.

“Ia adalah jangkitan (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sudah dijalankan pada 14 Ogos dan kes dikesan positif pada 15 Ogos.

“Ketiga-tiga kes yang dilaporkan pada hari ini adalah merupakan ahli keluarga kepada kes pertama (kes ke-9148). Sehingga 15 Ogos 2020, 80 kontak rapat beliau telah disaring,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, daripada 80 individu yang disaring, 4 dikesan positif dan 76 lagi masih menunggu keputusan. Kesemua kes bagi kluster ini melibatkan warganegara Malaysia.

“Pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah-langkah pencegahan serta pembendungan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang dikenal pasti.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Noor Hisham turut menjelaskan mengenai status terkini membabitkan kluster Tawar yang dilaporkan terdapat pertambahan 12 kes baru hari ini, iaitu sebanyak 10 kes di Kedah dan 2 kes di Pulai Pinang.

“Ini menjadikan jumlah kes dikesan positif bagi kluster ini adalah sebanyak 33 kes,” katanya.

Beliau berkata, sehingga jam 12 tengah hari tadi, 657 individu sudah disaring dalam kluster ini.

“Di Kedah, 520 individu sudah disaring, 30 daripadanya dikesan positif, 472 individu negatif dan 18 individu masih menunggu keputusan.

“Manakala di Pulau Pinang, 129 individu sudah disaring, 3 kes dikesan positif, 119 negatif dan 7 masih menunggu keputusan, serta 8 individu masih menunggu keputusan di Perak,” katanya.

Menjelaskan mengenai perkembangan terbaru melibatkan kluster Muda, Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan 1 kes baru bagi kluster ini.

“Sehingga 15 Ogos jam 12 tengah hari, 133 individu disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini, 3 kes dikesan positif, 27 didapati negatif dan baki 103 individu masih menunggu keputusan,” katanya.