KPKT mahu perkenal sistem penggiliran pegawai PBT elak salah laku, kata menteri

Beberapa pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam ditahan SPRM minggu ini kerana disyaki terlibat kegiatan rasuah berhubung premis perniagaan tanpa lesen. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang berusaha memperkenalkan sistem penggiliran penempatan antara pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai langkah menyelesaikan serta membendung amalan salah laku seperti rasuah.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, perkara ini masih di peringkat perbincangan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerajaan negeri dan garis panduan bagi sistem itu dijangka dapat disiapkan hujung tahun ini.

“(Sistem ini) boleh bantu meningkatkan prestasi dan pengalaman mereka (pegawai PBT), malah dapat mendedahkan mereka dengan pengalaman serta ilmu baru,” katanya selepas merasmikan majlis Kebun Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di sini hari in.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Ahmad Hamzah.

Zuraida mengulas isu berkaitan beberapa pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat kegiatan rasuah berhubung premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.

Mengenai kerja-kerja meroboh infrastruktur haram di sekitar Sungai Buloh, Zuraida berkata, MBSA akan menempatkan semula peniaga yang terjejas susulan operasi tersebut di 24 lot premis perniagaan yang dijangka siap dalam tempoh 6 bulan.

“Bagaimanapun saya difahamkan ada 80 peniaga, jadi 24 lot ini adalah berdasarkan angka yang mereka (MBSA) ada pada awalnya. Jadi yang selebihnya, kami akan buat tempat sementara untuk mereka berniaga sekiranya mereka berminat.

“Hari ini mereka (MBSA) mengadakan dialog dengan semua peniaga terlibat agar mereka (peniaga) mohon lesen, apabila dapat permit dan lesen (peniaga) boleh berniaga di tempat yang dibina MBSA,” katanya.

Zuraida berkata, perobohan gerai haram di Sungai Buloh dilakukan oleh pemilik gerai itu sendiri kerana mungkin mereka bimbang akan dikenakan tindakan saman.