MN harap kerjasama dengan PPBM beri hasil ‘optimum’, kata Zahid

Calon BN Mohd Zaidi Aziz berdepan dengan saingan 2 calon Bebas, iaitu Amir Khusyairi Mohamad dan Santharasekaran Subramaniam dalam PRK Slim 29 Ogos ini.

TANJUNG MALIM: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama PPBM dengan Muafakat Nasional (MN) akan memberi hasil yang optimum kepada gabungan itu dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Beliau berkata, mesyuarat MN telah membuat keputusan untuk menjemput PPBM ke dalam gabungan itu.

“Kita sedang tunggu menunggu surat balasan daripada mereka dan saya serahkan kepada jawatankuasa MN untuk memurnikan apa juga kedudukan apabila 3 pihak ini bersama mendukung MN.

“Jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh timbalan presiden Umno (Mohamad Hasan) dan timbalan presiden PAS (Tuan Ibrahim Tuan Man) akan ambil jalan terbaik untuk memurnikan perkongsian politik ,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis pelancaran jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) di Felda Residence, Trolak di sini.

Sebelum itu presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengumumkan parti pimpinannya bersetuju untuk menyertai MN yang merupakan kerjasama politik antara Umno dan PAS yang termeterai pada September tahun lepas.

Dalam satu rakaman video hari ini beliau berkata, langkah menyertai MN adalah pilihan terbaik untuk PPBM kerana ia akan mewujudkan kestabilan dalam politik negara.