Pemulihan perniagaan akan ambil masa 4 bulan hingga 2 tahun, kata FMM

Persekutuan Pekilang Malaysia berkata, sektor pengilangan akan terus mengambil pendirian pesimistik berhubung unjuran mengenai prospek perniagaan untuk tempoh berbaki tahun ini.

KUALA LUMPUR: Pemulihan perniagaan dijangka mengambil masa antara 4 bulan hingga 2 tahun bergantung kepada jenis sektor dan impak Covid-19 ke atas perniagaan itu, menurut Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Presidennya Soh Thian Lai berkata, rantaian bekalan akan terus menerima kesan susulan kelewatan penghantaran daripada pembekal dan penghantar yang berdepan kenaikan kos logistik dan penghantaran, peningkatan harga bahan mentah serta kekurangan bekalan.

“Sektor pengilangan akan terus mengambil pendirian pesimistik ke atas unjuran mereka bagi prospek perniagaan untuk tempoh yang berbaki tahun ini.

“Bagi kebanyakan syarikat, keseluruhan aktiviti perniagaan, termasuk jualan domestik dan eksport bagi 6 bulan akan datang dijangka rendah kerana mereka masih meneruskan pemulihan semula perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soh Thian Lai

FMM menyifatkan kuantum penguncupan ekonomi bagi suku ke-2 tahun ini seperti diumumkan Bank Negara Malaysia pada Jumaat, membuktikan impak buruk pandemik Covid-19 ke atas perniagaan.

Ia turut menjangkakan sebaik tempoh moratorium pinjaman bank secara automatik dan subsidi upah selama 6 bulan berakhir September ini, kebanyakan syarikat dan perniagaan akan berdepan kos 2 kali ganda yang memberi impak buruk terhadap inisiatif pemulihan perniagaan mereka.

“Bagi memastikan ekonomi mampu dipulihkan segera dan perniagaan dapat meningkatkan pendapatan mereka dan mengekalkan tenaga kerja, kita boleh memohon agar kerajaan meneruskan sokongan kepada industri dengan menyediakan lebih banyak inisiatif dan bantuan.

“Ini khususnya seperti pelanjutan moratorium bagi kemudahan perbankan dan pelaksanaan yang tepat pada masanya bagi Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020,” kata Soh.