PPBM setuju sertai Muafakat Nasional

Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak mengkhianati perjuangan PPBM dan tiada sebab untuknya mengkhianati parti yang ditubuhkannya bersama beberapa pengasas lain. 

PETALING JAYA: Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengumumkan parti pimpinannya bersetuju menyertai Muafakat Nasional (MN), kerjasama antara Umno dan PAS.

Beliau dalam satu rakaman video berkata, ia adalah pilihan terbaik untuk PPBM kerana penyatuan itu akan mewujudkan kestabilan politik negara.

“Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM bersetuju menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition’.

“Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.

“Dengan terbentuknya penyatuan antara PPBM, Umno, PAS dan parti-parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional, sebahagian besar sokongan rakyat sudah berada di pihak kita,” katanya dalam klip video itu.

Perdana menteri berkata, beliau tidak mengkhianati perjuangan PPBM dan tiada sebab untuknya mengkhianati parti yang ditubuhkannya bersama beberapa pengasas lain, termasuk Dr Mahathir Mohamad.

“Dahulu Mahathir bersama-sama dengan kita. Saya tidak boleh nafikan sejarah sumbangan Mahathir kepada parti kita. Saya hormat beliau sebagai bekas pemimpin parti. Orang-orang yang dekat dengan saya pasti tahu betapa hormatnya saya kepada Mahathir.

“Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita. Tidak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.”

Bagi Muhyiddin, apa yang lebih penting ialah perjuangan PPBM mesti diteruskan kerana pemimpin parti datang dan pergi, tetapi wadah perjuangan parti perlu dipertahankan.

“Kita mesti jalan terus. Jangan kita berpaling ke belakang. Teruslah mara ke hadapan. Apa yang ada di hadapan kita mesti kita hadapi dengan tabah.”