Tiada undi pos buat pengundi luar kawasan bagi PRN Sabah, kata SPR

SPR akan terus berusaha memperbaiki proses pengundian pos, selain meneroka pilihan alternatif untuk pengundi luar kawasan. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) buat masa ini tidak bercadang memberi kemudahan undi pos kepada pengundi Sabah di luar negeri itu seperti di Sarawak atau Semenanjung bagi Pilihan Raya Negeri akan datang.

Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom bagaimanapun berkata, sebarang penambahbaikan hanya boleh dilakukan jika dan apabila ketelusan proses pemilihan dapat dikekalkan.

Tetapi, beliau berkata, pihaknya mengambil maklum saranan Global Bersih melalui kenyataan NGO itu pada 5 Ogos lalu supaya SPR memberi kemudahan undi pos kepada pengundi luar kawasan (PLK) bagi PRN Sabah.

“SPR akan terus berusaha memperbaiki proses pengundian pos, selain meneroka pilihan alternatif untuk PLK. SPR juga memberi perhatian sewajarnya di bawah pelan penambahbaikan dengan sebuah jawatankuasa yang dibentuk untuk mengkaji isu ini.

“Ini adalah satu proses yang tidak boleh (dilakukan) tergesa-gesa dan apa-apa penambahbaikan mesti dilakukan dengan berhati-hati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata, SPR melalui Pos Malaysia akan menggunakan khidmat kurier antarabangsa bagi penghantaran sampul undi pos luar negara untuk PRN Sabah.

Katanya, ini susulan pemberhentian sementara perkhidmatan mel dan bungkusan antarabangsa serta Perkhidmatan Mel Ekspres (EMS) Pos Malaysia ke semua destinasi antarabangsa, kecuali Singapura sejak 3 Ogos lalu.

PRN Sabah perlu diadakan dalam 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan Ketua Menteri, Shafie Apdal pada 30 Julai lalu selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin.

SPR dijadual mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Sabah Isnin ini bagi membincangkan tarikh penting urusan pilihan raya seperti writ pilihan raya, hari penamaan calon, pengundian, daftar pemilih terakhir diperakui yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya itu.