235 ditahan langgar PKPP, 15 direman

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam polis mengadakan 65 sekatan jalan raya Operasi Benteng dan memeriksa 25,019 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI, terutamanya di lorong tikus.

PETALING JAYA: Polis menahan 235 individu atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 15 individu direman, manakala 220 yang lain dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP, termasuk dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran (15 kes), gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (26), premis beroperasi lebih masa (12), tidak memakai pelitup muka (16), gagal melunaskan bayaran kuarantin (1) serta aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (165),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai kawalan sempadan Ismail berkata, polis menahan seorang warga asing kerana kesalahan imigresen.

Ismail Sabri Yaakob

“Semalam (15 Ogos), polis mengadakan 65 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 25,019 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), terutamanya di lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan, terutamanya di lorong-lorong tikus.”

Menyentuh mengenai pemeriksaan berkala terhadap individu yang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing, beliau berkata, berdasarkan 405 pemeriksaan semalam, kesemua individu mematuhi SOP yang ditetapkan.