4 polis didakwa rompak guru RM8,550

Tertuduh yang masing-masing berpangkat koperal dan lans koperal didakwa melakukan rompak berkumpulan terhadap AS James Anthony, 47, di tempat letak kereta di Pangsapuri Berembang Indah, Wangsa Maju jam 4 pagi, 4 Mei 2019.

KUALA LUMPUR: Empat anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merompak RM8,550 daripada seorang guru lelaki sekolah swasta sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa tahun lalu.

Syazuwan Nik Mamat, 31, Muhammad Bazil Rosly, 31, Mohd Masruz Rahmat Masuhut, 28, dan Mcallister Nicholl Helbron, 28, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan hakim Mahyon Talib.

Tertuduh yang masing-masing berpangkat koperal dan lans koperal didakwa melakukan rompak berkumpulan terhadap AS James Anthony, 47, di tempat letak kereta di Pangsapuri Berembang Indah, Wangsa Maju jam 4 pagi, 4 Mei 2019.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Nurliyana Mohd Jafri manakala semua tertuduh diwakili peguam Akmal Jusof.