CAP seru batal pelancongan perubatan di Malaysia

PULAU PINANG: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru kerajaan tidak membenarkan pelancongan perubatan buat masa ini disebabkan penularan Covid-19.

Presiden Mohideen Abdul Kader berkata persatuan itu agak terkejut mendengar berita kerajaan Pulau Pinang membenarkan pelancongan perubatan di sebalik peningkatan kes Covid-19 di negeri itu dan kemunculan kluster Covid-19 baharu di Indonesia.

“Malaysia, bukan sekadar Pulau Pinang, tidak seharusnya membenarkan kemasukan pelancong perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan, terdapat penerbangan Air Asia yang tiba minggu lalu membawa pelancong perubatan dari Medan, Indonesia ke Pulau Pinang untuk rawatan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengubah keputusan untuk tidak menerima pelancong perubatan selepas ramai warga net menulis dalam media sosial bimbang tentang jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Indonesia dan risiko penularannya ke Pulau Pinang.

“Berita ini agak ironik memandangkan Indonesia sendiri mengumumkan pelancong asing dilarang masuk ke negara itu pada 2020 kerana kes Covid-19 yang tinggi dan membimbangkan yang sedang mereka hadapi,” kata Mohideen.

Menurut CAP, walaupun Chow tidak menerima pelancongan perubatan, beliau berkata akan berbincang dengan agensi yang berkenaan dan membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

Ketika kenyataan ditulis masih belum ada keputusan yang diambil, katanya.