Johor sedia bas untuk pejalan kaki berulang-alik ke Singapura

Perbadanan Pengangkutan Awam Johor menyediakan perkhidmatan bas bagi membantu pejalan kaki di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik dan Peraturan Ulang Alik Berkala di Tambak Johor bermula hari ini. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Menyedari kesukaran sesetengah pengguna yang merentas sempadan di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) di Tambak Johor mulai hari ini, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) menyediakan perkhidmatan bas bagi membantu pejalan kaki di laluan berkenaan bermula petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Insfrastruktur negeri Mohd Solihan Badri berkata, perkhidmatan yang baru bermula pukul 5.00 petang tadi itu disediakan setelah pihaknya membuat penyelarasan, iaitu membabitkan operator bas, PLUS Malaysia Bhd (Plus), polis, imigresen dan agensi yang terlibat.

Exco negeri Mohd Solihan Badri.

“Perkhidmatan bas ini mula disediakan pada pukul 5.00 petang tadi, kebetulan keadaan hujan dan bas berjaya membawa 3 penumpang.

“Namun, setakat pukul 6.00 petang didapati tiada lagi pejalan kaki kelihatan dari arah Singapura ke Johor, mungkin mereka masih berteduh di tempat pemeriksaan kastam di republik itu,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Solihan berkata, perkhidmatan bas akan disambung semula esok dan kekerapan perjalanan adalah bergantung kepada jumlah pejalan kaki yang menggunakan Tambak Johor.