Keputusan mohon semak keputusan bubar DUN Sabah diketahui Jumaat

KOTA KINABALU: Sama ada Mahkamah Tinggi akan membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh 33 wakil rakyat terhadap keputusan Yang di-Pertua Sabah, Juhar Mahiruddin, membubarkan Dewan Undangan Negeri akan diketahui Jumaat ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah lisan peguam mewakili 33 Adun terbabit, Tengku Fuad Ahmad, Peguam Negeri Brenndon Keith Soh, dan peguam kanan persekutuan.

Mahkamah pada 7 Ogos meminta peguam negeri, yang mewakili Juhar, dan Tengku Fuad, yang turut mewakili bekas ketua menteri Musa Aman, menyerahkan hujah lanjut kerana ia mahu tahu sama ada mendengar dan menentukan perkara ini dalam bidang kuasanya.

Musa dan 32 wakil rakyat lain mempersoalkan permohonan bertulis Ketua Menteri Shafie Apdal kepada Juhar pada 29 Julai memohon DUN dibubarkan.

Pembubaran itu membuka laluan kepada pilihan raya kilat. Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengumumkan tarikh pengundian hari ini.

Mereka menamakan Juhar sebagai responden pertama, manakala Shafie, SPR, dan kerajaan negeri masing-masing responden ke-2, ke-3, dan ke-4.

Mahkamah juga menetapkan 19 Ogos untuk pemohon menyerahkan jawapan bertulis kepada persoalan yang ditimbulkan peguam negeri tentang locus standi mereka untuk mencabar keputusan Juhar.

Seramai 25 Adun menghadiri pendengaran hari ini termasuk Osman Jamal (Balung), Bolkiah Ismail (Pitas), Saddi Abdul Rahman (Sukau), Jahid Jahim (Tamparuli), Abidin Madingkir (Paginatan), Abdul Muis Picho (Sebatik), Hamisa Samat (Tanjung Batu), dan Abdul Rahman Kongkawan (Labuk).