Kerajaan umum sukuk digital pertama bernilai RM500 juta esok

Hasil terbitan Sukuk Prihatin antara lain akan disalurkan kepada usaha menampung geran penyelidikan penyakit berjangkit, di samping membiayai perusahaan IKS dan mikro. (Gambar KKM)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan mengumumkan terbitan Sukuk Prihatin bernilai RM500 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), yang merupakan sukuk digital pertama Malaysia, esok.

Kementerian Kewangan (MoF) menerusi kenyataan hari ini berkata majlis perasmian Sukuk Prihatin itu akan disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan disempurnakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Kementerian itu berkata, terbitan sukuk patuh syariah tersebut merupakan hasil permintaan pelbagai pihak untuk turut membantu dalam usaha pemulihan negara.

Hasil terbitan Sukuk Prihatin akan disalurkan kepada beberapa inisiatif yang dikenal pasti, termasuk usaha meningkatkan kesalinghubungan kepada -sekolah luar bandar, menampung geran penyelidikan penyakit berjangkit, di samping membiayai perusahaan kecil dan sederhana serta mikro, terutama usahawan wanita.