Langgar SOP: 2 restoran nasi kandar di Kepala Batas diarah tutup 7 hari

Kementerian Kesihatan mengarahkan dua restoran nasi kandar di Kepala Batas ditutup 7 hari kerana tidak mengehadkan jumlah pengunjung dan tiada penjarakan fizikal sesama pelanggan. (Gambar Bernama)

KEPALA BATAS: Dua restoran nasi kandar di daerah ini diarah tutup selama 7 hari kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam operasi bersama polis hari ini.

Kesalahan yang dilakukan oleh restoran terbabit ialah tidak mengehadkan jumlah pengunjung dan tiada penjarakan fizikal sesama pelanggan, katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, operasi yang bermula pada 5 petang itu turut menyaksikan 3 kedai makan, termasuk sebuah restoran mi goreng yang terkenal di daerah ini diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

Kelima-lima restoran berkenaan juga dikenakan kompaun RM1,000 masing-masing, katanya.