Saman cabar pengampunan Anwar tiada kaitan dengan saya, kata Dr M

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang pernah mewakili Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, terlibat dalam saman mencabar pengampunan Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Pejabat Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, bekas perdana menteri itu tidak ada kaitan dengan kes saman terhadap pengampunan penuh presiden PKR Anwar Ibrahim.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz selaku plaintif berkata, pengampunan itu melanggar Artikel 42 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan.

Anwar dijatuhi hukuman kerana meliwat bekas pembantu peribadinya.

Dalam satu kenyataan, pejabat Mahathir berkata, walaupun Haniff mewakili bekas perdana menteri itu sejak 2015, termasuk dalam beberapa kes yang masih berjalan, beliau bukan peguam peribadinya.

Ia berkata, keputusan Haniff untuk mengendalikan kes lain, termasuk saman yang mencabar pengampunan Anwar, adalah keputusan beliau sendiri.

“Kes itu dan keputusan Haniff untuk terlibat sebagai peguam tidak ada kena mengena sama sekali dengan Tun (Mahathir),” katanya.

Minggu lepas, Haniff memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Lembaga Pengampunan memberi nasihat salah kepada Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.

Selain itu katanya, komposisi lembaga berkenaan tidak teratur, menjadikan nasihatnya tidak sah.

Peguam Anwar, J Leela berkata, pengampunan yang diberikan oleh Agong tidak boleh dicabar di mahkamah dan plaintif tidak memiliki locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan saman berkenaan.