Saya sedia bayar rasuah RM60 juta, kata ahli perniagaan dalam perbicaraan kes Rosmah

Ahli perniagaan Saidi Abang Samsudin disoal balas oleh peguam pembelaan Akberdin Abdul Kader di Mahkamah Tinggi hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi di sini dihangatkan dakwaan pemberian rasuah RM60 juta kepada bekas menteri pendidikan, Mahdzir Khalid atas persetujuan memberi kontrak pembekalan dan pemasangan tenaga solar kepada Jepak Holdings.

Ahli perniagaan, Saidi Abang Samsudin berkata, beliau menandatangani perjanjian dengan Md Fuad Yassin, dipercayai proksi Mahdzir, untuk membayar duit berkenaan dengan syarat dia mendapat surat tawaran projek bernilai RM1.25 bilion untuk pembangunan sekolah Sarawak dalam tempoh sebulan.

“Kami memberinya tempoh sebulan untuk melobi atau perjanjian itu akan dibatalkan. Saya tidak kisah dari mana dia dapat surat pemberian projek itu,”kata Saidi di Mahkamah Tinggi di sini sewaktu disoal balas oleh peguam, Akberdin Abdul Kader hari ini.

Akberdin berkata, Saidi yang juga bekas pengarah urusan Jepak Holding Sdn Bhd sepatutnya mengetahui latar belakang dan kemampuan Fuad sebelum menandatangani perjanjian berkenaan.

Bagaimanapun, Said menjelaskan beliau merupakan seorang ahli perniagan dan tidak boleh menunggu lama untuk mendapatkan surat tawaran projek.

“Saya tidak pasti apa latar belakang politik Fuad,”katanya sewaktu menjawab pertanyaan Akberdin sama ada Fuad adalah merupakan proksi kepada Mahdzir.

Akberdin: Saya menganggap kamu sedar bahawa Fuad adalah proksi Mahdzir.

Saidi: Saya menafikannya.

Akberdin: Kamu sembunyikan fakta itu kerana awak rapat dengan Mahdzir

Saidi: Saya bercakap benar…Saya tidak tahu hubungan antara Fuad dan Mahdzir.

Saidi bagaimanapun mengaku membayar RM40,000 kepada Mahdzir bagi membiayai kos hotel dan perbelanjaan lain membabitkan delegasi Umno bahagian Padang Terap yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno pada 2016.

Mahdzir merupakan ketua Umno dan ahli Parlimen bagi kawasan berkenaan.

Pada 3 Ogos lalu, bekas rakan kongsi Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah memberitahu mahkamah bahawa Mahdzir menuntut habuan sejumlah 20% daripada kos projek sebagai ganjaran terhadap beliau mendapatkan kontrak bagi Jepak Holdings.

Bagaimanapun, Rayyan menjelaskan amaun wang itu dikurangkan kepada RM60 juta atau RM1 juta sebulan bagi tempoh 5 tahun bermula tahun 2016.

Rayyan turut mendedahkan wang bayaran itu (RM60 juta) dibayar melalui proksi Mahdzir, iaitu Fuad.

Mahdzir dalam satu kenyataan kemudiannya menafikan beliau mengambil rasuah daripada Saidi susulan projek itu diluluskan atas arahan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Saidi pada hari ini turut mengakui beliau menandatangani perjanjian bagi membayar kepada setiausaha Umno bahagian Pekan, Ahmad Aazmey Abu Talib sebanyak RM50 juta atau 4% nilai projek.

Bayaran itu dibuat Saidi bagi menghargai bantuan Ahmad Aazmey mendapatkan minit mesyuarat dan surat kelulusan projek daripada Najib.

“Duit itu dibayar secara ansuran selama 5 tahun bermula 2016, manakala tambahan 2% akan dibayar sekiranya projek itu disambung selepas tempoh 5 tahun,” katanya.

Bagaimanapun, Saidi menegaskan sudah membayar RM2 juta kepada Aazmey di beberapa lokasi di sini dan Kuantan sekitar tahun 2015 dan 2016.

Rosmah yang juga isteri Najib, didakwa atas 3 pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta daripada Saidi sebagai habuan membantu syarikat Jepak Holding Sdn Bhd mendapatkan projek menerusi rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah turut dituduh menerima rasuah RM6.5 juta daripada Saidi pada tahun 2016 dan 2017.

Perbicaraan dihadapan hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan akan bersambung.