Speaker perjelas rehat 10 minit sebelum Dewan Rakyat mengundi

Keputusan speaker Dewan Rakyat Azhar Harun mengumumkan rehat sebelum pengundian rang undang-undang perbekalan dijalankan dibantah oleh beberapa ahli Parlimen hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menjelaskan keputusan beliau mengumumkan masa rehat 10 minit sebelum pengundian rang undang-undang perbekalan kerajaan dijalankan hari ini.

Beliau berkata, masa rehat itu bertujuan membolehkan semua ahli Parlimen mengambil bahagian dalam pengundian. Tempoh itu diperlukan kerana ahli Parlimen berada di bangunan baru yang agak jauh dari dewan rendah itu.

“Rehat 10 minit baik untuk semua ahli Parlimen yang boleh berkejar ke dewan untuk mengundi,” katanya kepada FMT.

Keperluan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan wabak Covid-19 merupakan satu lagi sebab.

“Hanya 5 orang dibenarkan berada dalam lif pada satu-satu masa,” katanya, merujuk kepada peraturan yang menghendaki amalan penjarakan fizikal dan pemeriksaan suhu badan.

Azhar berkata, beliau pernah mengumumkan prosedur rehat 10 minit itu pada 11 Ogos dan tiada bantahan dibuat.

“Mungkin tidak ramai yang berada di dewan pada masa itu.”

Terdahulu hari ini, beberapa ahli Parlimen pembangkang membantah apabila Azahar mengumumkan masa rehat.

RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata, Azhar tidak boleh “merampas Parlimen”, sementara yang lain mahu tahu sebab di sebalik keputusan itu.

Masa rehat itu diumumkan sebelum pengundian ke atas Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 yang menyaksikan kerajaan meminta peruntukan sebanyak RM7.18 bilion dijalankan.

Rang undang-undang itu diluluskan kemudiannya dengan majoriti 5 undi.