5 juta pelajar terima pelitup muka fabrik, kata menteri KPKT

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya mendapat sokongan sumbangan 4 tan kain perca daripada kumpulan Jakel untuk memulakan inisiatif murni itu

AMPANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengagihkan pelitup muka fabrik kitar semula di semua sekolah seluruh negara membabitkan kira-kira 5 juta pelajar.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya mendapat sokongan sumbangan 4 tan kain perca daripada kumpulan Jakel untuk memulakan inisiatif murni itu.

“Ini sebahagian usaha mengurangkan kos perbelanjaan yang besar terhadap pelitup muka pakai buang yang jelas membawa risiko kepada ekosistem alam sekitar dan sejajar pemakaian pelitup muka yang diwajibkan oleh kerajaan bermula 1 Ogos lalu.

“Kain perca yang diterima ini akan diagihkan kepada SWCorp (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) dan badan bukan kerajaan (NGO) kemasyarakatan serta kebajikan selain ibu dan suri rumah di Parlimen Ampang dan Selangor, khususnya untuk dibawa pulang dan menjahit kain itu untuk dijadikan pelitup muka fabrik kitar semula.

“Bagi memastikan pelitup muka fabrik ini selamat dan menepati piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap kain perca yang diterima akan diasingkan dan dipilih mengikut kesesuaian dan kualiti material termasuk mematuhi aspek keselamatan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pengedaran pelitup muka akan membabitkan semua pelajar secara umum sama ada peringkat rendah dan menengah serta tahfiz serta madrasah termasuk pelajar kurang berkemampuan.

Sebanyak 16 sekolah di Parlimen Ampang membabitkan 20,000 pelajar akan menjadi perintis sebelum diedarkan secara berperingkat ke seluruh negara membabitkan kira-kira 5 juta pelajar.

Buat permulaan 30 hari pertama, Zuraida menyasarkan pengeluaran 60,000 pelitup muka fabrik membabitkan 200 tukang jahit suri rumah di sekitar Selangor.

“Pelitup muka yang sudah dijahit akan dibeli dengan kos RM2 sehelai sebelum diedarkan kepada pelajar.

“Bagaimanapun, kita berjaya mengumpul 400 tenaga kerja wanita di Parlimen ini dan dijangka bertambah dalam masa terdekat untuk mencapai sasaran 5 juta pelajar seluruh negara.

“Pengasas Jakel juga bersetuju menyumbangkan 50,000 pelitup muka 3 lapis untuk diedarkan kepada pelajar sekolah di kawasan Ampang,” katanya.

Zuraida berkata, pihaknya turut meminta syarikat industri kain dan tekstil tampil menghulurkan kain perca yang tidak terpakai untuk dijahit dan dibuat pelitup muka fabrik kitar semula untuk pelajar.