Akar umbi Umno tak setuju PPBM sertai Muafakat Nasional, kata Tok Mat

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata beliau menerima banyak maklum balas daripada akar umbi yang tidak selesa dengan idea PPBM bergabung dengan Muafakat Nasional.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, akar umbi parti itu tidak selesa dan tidak bersetuju dengan idea PPBM menyertai Muafakat Nasional (MN), gabungan antara Umno dan PAS.

Sebelum ini Presiden PPBM Muhyiddin Yassin berkata, partinya berhasrat menyertai MN selepas dijemput secara rasmi untuk berbuat demikian dan selepas itu, setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa menyatakan yang MN juga bersetuju secara prinsip.

Bercakap kepada FMT, Mohamad berkata walaupun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengatakan ia bergantung kepada jawatankuasa MN untuk menentukan penyertaan PPBM ke dalam gabungan itu, ia perlu dirujuk terlebih dahulu ke Majlis Tertinggi Umno.

“Bagi Umno, kita perlu mendapat mandat daripada Majlis Tertinggi. Majlis Tertinggi adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti.

“Tidak ada bezanya ketika kami memutuskan untuk membentuk MN dengan PAS. Keputusan akhir dibuat oleh Majlis Tertinggi,” katanya.

Mohamad berkata, Umno mesti mendapat mandat daripada Majlis Tertinggi kerana ia mewakili akar umbi parti.

“Saya menerima banyak maklum balas dari akar umbi yang tidak selesa dengan idea (PPBM bergabung dengan MN) dan tidak setuju dengan langkah tersebut.

“Ramai ahli Umno masih ingat dengan penghinaan dan kata-kata kesat yang dilemparkan kepada kami (oleh pemimpin PPBM sebelum PRU14) dan masih terasa sakit sehingga kini,” katanya sambil menambah Umno perlu mendengar keluhan akar umbinya.

“Kehadiran saya di sini (sebagai timbalan presiden) adalah kerana akar umbi, jadi kepentingan mereka mesti dijaga,” katanya.

MN adalah pakatan antara Umno dan PAS, 2 parti Melayu-Islam terbesar yang secara rasmi ditubuhkan pada September tahun lalu.

Bersama dengan PPBM, mereka membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN), dengan sokongan gabungan parti pemerintah di Sarawak, yang kini menjadi kerajaan persekutuan.

Sementara itu, dalam ciapan di Twitternya, Zahid menegaskan pandangan akar umbi parti diberi keutamaan dan didengar sebelum MN membuat keputusan mengenai penerimaan rakan kongsi politik baharu.

“Majlis Tertinggi Umno akan memutuskan perkara itu,” katanya.