Israel serang Gaza untuk 7 malam berturut-turut

(Gambar AP)

PETALING JAYA: Serangan Israel terhadap wilayah Gaza, Palestin diteruskan untuk malam ke-7 berturut-turut apabila pesawat pejuang negara itu menyasarkan pos pengawasan kumpulan Hamas, kata tentera Israel.

Serangan udara dilancarkan pada Selasa menyusul selepas pegawai keselamatan Mesir mengadakan lawatan bagi mengurangkan peningkatan terbaharu aktiviti keganasan di wilayah itu.

“Pesawat pejuang menyerang prasarana bawah tanah milik kumpulan Hamas di Semenanjung Gaza,” kata seorang pegawai tentera Israel dalam kenyataan sebagaimana dilaporkan media antarabangsa, Al Jazeera hari ini.

Al Jazeera turut melaporkan kenyataan pegawai tentera Israel berkenaan yang mengaitkan serangan itu dengan roket dan belon api yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke Israel.

Sumber keselamatan Gaza dan saksi kejadian berkata, serangan pada Selasa lalu menjejaskan pos pengawasan kumpulan Hamas di Rafah, terletak di bahagian selatan Gaza dan Belt Lahia di bahagian utara.

Ketegangan semakin memuncak sejak lebih seminggu lalu dengan Israel menuduh Hamas melepaskan roket dan sejumlah belon, dilengkap dengan bahan bakar dan alat letupan.

Israel menutup kawasan laluan khas perdagangan, Karem Abu Salem (Kerem Shalom), dengan Semenanjung Gaza, mengarahkan larangan menangkap ikan di perairan Gaza dan melancarkan serangan udara secara berperingkat pada waktu malam selama 7 malam berturut-turut.

Sumber Hamas memberitahu AFP kumpulan itu sedang mengadakan perbincangan dengan delegasi Mesir di Gaza pada Isnin lalu sebelum delegasi itu beredar untuk mengadakan pertemuan lain dengan pihak Israel dan Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat.

Sumber itu turut menambah delegasi itu akan kembali mengadakan pertemuan dengan Hamas apabila pertemuan susulan dengan Israel selesai.

“Usaha penjajahan menjadi semakin agresif dengan serangan udara dilancarkan selepas waktu tengah malam,” kata sumber Hamas, menegaskan serangan itu turut dilihat sebagai respons negatif terhadap pihak mahukan genjatan senjata.

Sumber Hamas itu turut memaklumkan tiada korban dalam serangan itu.