Menteri bentang RUU Covid-19 untuk bacaan ke-2, perbahasan

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz berkata, RUU itu ialah cara terbaik untuk melaksanakan rancangan pemulihan ekonomi negara bagi menangani pandemik itu.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini membahaskan Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 yang bertujuan mengurangkan kesan akibat pandemik itu, termasuk menyokong pelbagai pakej diumumkan perdana menteri sejak Mac lalu.

Pakej itu adalah Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat tambahan untuk perusahaan kecil dan sederhana, Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi mengurangkan kesan kewangan dan sosial akibat pandemik itu.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz berkata, walaupun wakil pembangkang dan kerajaan mempunyai pandangan berbeza, mereka perlu menyokongnya kerana RUU itu penting.

“RUU ini cara terbaik untuk melaksanakan rancangan pemulihan ekonomi negara,” katanya ketika membentang RUU itu bagi bacaan ke-2 yang dijangka akan dibahaskan lebih 30 ahli Parlimen.

Selepas perbahasan, semua ahli Parlimen akan mengundi sama ada menyokong atau menolak RUU itu.

Speaker, Azhar Azizan Harun menjangkakan penggulungan oleh menteri dan proses undian dijalankan Isnin depan kerana ramai wakil rakyat akan membahaskan RUU itu.

RUU itu pertama kali dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah 6 Ogos lalu.

RUU itu membabitkan perbelanjaan tambahan berjumlah RM45 bilion yang diperuntukkan untuk menaikkan had jumlah wang yang boleh diperoleh mengikut Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan jumlah wang boleh diterima di bawah Akta Pendanaan Kerajaan 1983 melalui penubuhan Kumpulan Wang Covid-19.

Wang itu akan digunakan untuk program di bawah pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan ekonomi serta peruntukan perkara berkaitan.

Berdasarkan RUU itu, program subsidi upah, insentif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja serta bantuan latihan menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM16.8 bilion.

Ia juga membabitkan RM11.2 bilion bagi BPN, projek berskala kecil (RM4 bilion) masing-masing RM2 bilion untuk program kemahiran dan meningkatkan kemahiran serta Pembiayaan PKS Penjana, selain Geran Prihatin PKS (RM1.9 bilion).

Sejumlah RM500 juta lagi untuk diskaun bil elektrik, bantuan khas pelajar institusi pendidikan tinggi (RM300 juta) dan subsidi pengangkutan awam MY30 (RM200 juta).