Menteri kewangan Kanada letak jawatan selepas kemelut dengan PM

Bill Morneau menanggalkan pelitup muka ketika bersedia mengumumkan peletakan jawatannya pada Isnin. (Gambar AP)

OTTAWA: Menteri Kewangan Kanada, Bill Morneau mengumumkan peletakan jawatannya pada Isnin susulan laporan perselisihannya dengan Perdana Menteri, Justin Trudeau dan selepas dikritik atas hubungannya dengan sebuah badan amal mengendalikan program geran pelajar.

Berikutan itu, Morneau memutuskan tidak akan bertanding untuk kerusi Parlimen lagi, sebaliknya beliau, dengan sokongan Trudeau, akan menjadi setiausaha agung Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Minggu lalu, Trudeau menyuarakan keyakinan terhadap Morneau, 57, memegang jawatan menteri kewangan sejak parti Liberal pimpinan Trudeau berkuasa pada akhir 2015.

Sumber memberitahu Reuters, Morneau dan pasukannya sebelum ini tidak bersefahaman dengan menteri Kabinet lain berhubung perbelanjaan untuk melawan pandemik Covid-19, termasuk sejauh mana pemulihan pasca perintah berkurung dapat dibantu dengan melabur dalam projek alam sekitar.

“Walaupun kita tidak dapat buat semua (perkara) dengan betul, saya tahu kesan tanpa sebarang tindakan lebih besar,” kata Morneau sambil menambah beliau menemui Trudeau “untuk memberitahunya saya tidak berhasrat menjadi calon dalam pilihan raya akan datang”.

Trudeau, yang berkempen untuk menangani perubahan iklim, percaya Belanjawan 2021 perlu mempunyai elemen alam sekitar untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi terhadap bahan api fosil dan minyak mentah, serta beliau baru-baru ini melantik bekas gabenor Bank England, Mark Carney sebagai penasihat tidak rasmi.

Antara nama yang mungkin mengisi jawatan itu termasuk Timbalan Perdana Menteri, Chrystia Freeland, Menteri Luar, Francois-Philippe Champagne dan Presiden Lembaga Perbendaharaan, Jean-Yves Duclos.

Dalam satu kenyataan, Trudeau mengucapkan terima kasih kepada Morneau atas perkhidmatannya selama 5 tahun.

“Kanada akan memberi sokongan padu terhadap usahanya untuk menerajui institusi global penting yang bakal memainkan peranan penting ke arah pemulihan ekonomi global,” kata Trudeau mengenai usaha Morneau mengetuai OECD.