Pembangkang dakwa menteri tidak dikuarantin selepas pulang dari luar negara

Teresa Kok.

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang mendakwa seorang menteri tidak dikuarantin wajib 14 hari seperti ditetapkan SOP pencegahan Covid-19 selepas pulang dari luar negara bulan lalu.

Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata, menteri itu berkunjung ke Turki pada awal Julai namun tidak menjalani kuarantin selepas pulang ke negara ini.

“Menteri perusahan perladangan dan komoditi pergi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai tetapi pada 13 haribulan dia datang ke Parlimen,” katanya semasa berucap di Dewan Rakyat hari ini.

“Kita tahu semua orang berkunjung ke luar negara harus dikuarantin selama 14 hari. Sekarang ni ada menteri Kabinet tak ikut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bangkit mencelah ucapan Lee Boon Chye (PH-Gopeng) yang membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019).

Perkara sama turut dibangkitkan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang berkata tindakan perlu diambil jika benar menteri terbabit melanggar SOP.

“Saya mohon sama ada benar atau tidak beliau pergi, minta jelaskan. Jika benar, kenapa tidak pakai gelang merah jambu (gelang khas kuarantin Covid-19)?

“Sepatutnya menteri tersebut dikuarantin, tidak perlu hadir ke Dewan Rakyat. Saya kesal dengan perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Boon Chye yang meneruskan ucapannya kemudian bersetuju pandangan Teresa sebagai berkata, menteri berkenaan berdepan risiko apabila Turki mencatatkan 250,000 jangkitan Covid-19 dan lebih 6,000 kematian.

“Kenapa dibenarkan hadir Parlimen, beliau boleh membahayakan keseluruhan wakil rakyat yang hadir.

“Penguatkuasan tidak boleh berat sebelah,” katanya,

RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian mencelah sambil memaklumkan tidak adil kerajaan melaksanakan undang-undang untuk rakyat tetapi menteri diberi pengecualian.

“Adakah undang-undang terpakai kepada rakyat, tapi bukan YB,” katanya.

Tiong King Sing (GPS-Bintulu) mempertahan tindakan menteri berkenaan sambil memaklumkan, lawatan ke Turki dibuat atas urusan rasmi kerajaan.

“Beliau pergi menjalankan tugas rasmi, apa pasal tidak boleh, kamu tidak boleh kata ia bukan tugas rasmi,” katanya menjawab kepada Rayer.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komodoti, Willir Mongin cuba tampil menjelaskan isu sebenar namun tidak dibenarkan Speaker, Rashid Hasnon yang meminta wakil rakyat pembangkang menulis surat kepadanya untuk penelitian lanjut.